TERKINI

Aktivis Politik Cadang Tun M Jadi Pengerusi PN Sebagai Penyatu, Bukan Calon PM

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Perikatan Nasional (PN) disaran melantik seorang pengerusi baharu yang berperanan sebagai penyatu gabungan, bukannya dijadikan landasan untuk mencalonkan diri sebagai Perdana Menteri, susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa 1 Januari 2026.

Pandangan itu disuarakan aktivis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin, yang menyifatkan pengunduran Muhyiddin bersama beberapa pemimpin kanan lain, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN, menandakan fasa transisi kepimpinan yang kritikal dan memerlukan kestabilan baharu.

Menurut beliau, PN kini berada pada persimpangan penting yang menuntut proses penstrukturan semula kepimpinan secara lebih tersusun, inklusif dan berasaskan konsensus, khususnya dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

“Dalam teori pengurusan gabungan, krisis transisi kepimpinan lazimnya membawa dua risiko utama, iaitu fragmentasi dalaman akibat perebutan mandat serta kekaburan naratif kepada akar umbi mengenai hala tuju dan identiti sebenar gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Armin berpandangan PN wajar melantik pengerusi yang bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya berfungsi sebagai simbol penyatuan nasional Melayu serta mampu mengimbangi kepentingan parti-parti komponen secara adil dan berwibawa.

Beliau secara terbuka menyatakan sokongan agar Tun Dr. Mahathir Mohamad dipertimbangkan dan dipersetujui melalui konsensus Majlis Tertinggi PN sebagai Pengerusi Baharu Perikatan Nasional.

“Tunas pengalaman dan wibawa Tun merentasi generasi amat penting untuk memulihkan keyakinan akar umbi, menurunkan ketegangan dalaman serta mengembalikan disiplin politik dalam kalangan komponen PN,” katanya.

Menurutnya, dalam landskap pembangkang semasa, PN memerlukan seorang arbiter yang tidak dilihat mewakili mana-mana puak atau parti secara eksklusif, sebaliknya berperanan sebagai pengimbang yang mampu memimpin musyawarah dan membina kesepakatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelantikan itu perlu disertai prinsip yang jelas bahawa Tun Dr. Mahathir berfungsi sebagai penyatu, bukan calon Perdana Menteri, bagi mengelakkan persepsi jawatan pengerusi dijadikan laluan peribadi ke Putrajaya.

“Jika Tun bersetuju, satu komitmen awam berhubung perkara ini akan mengukuhkan legitimasi kepimpinan beliau,” katanya. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp