TERKINI

Bantuan RM30 juta : Pesawah Tuntut Janji PMX

Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 5 April 25 – Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) menuntut janji Perdana Menteri sebelum ini yang mengumumkan bantuan RM 30 juta kepada pesawah.

Koordinator GEMPITA, YB Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, bantuan yang diumumkan oleh PM pada 13 Februari lalu menjadi tanda tanya hingga hari ini.

“Aidilfitri telah pun memasuki hari kelima (5 Syawal 2025), namun sehingga hari ini tiada sesen pun sumbangan ihsan yang dijanjikan PMX Anwar Ibrahim diterima pesawah.

“Sejak dari pengumuman itu para pesawah masih belum menerima sebarang bantuan wang ihsan sepertimana dikatakan.

Tambah Ashraf, pada 27 Feb lalu PM telah datang dan mengumumkan sumbangan awal sebanyak RM 15 juta yang merupakan  sebahagian dari RM30 juta wang ihsan yang diumumkan pada Februari sebagai duit raya, yang sepatutnya telah disalurkan menjelang Aidilfitri.

“Namun, sehingga kini, bantuan tersebut masih belum diterima oleh pesawah, sehingga menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati dalam kalangan mereka.

Dalam kenyataan yang sama, Ashraf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri, Kota Siputeh berharap agar pihak berwajib dapat menunaikan amanah tersebut demi menjaga kebajikan pesawah padi.

Februari lalu, media melaporan bahawa golongan pesawah di seluruh negara bakal menerima agihan sumbangan membabitkan peruntukan berjumlah RM15 juta daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk membantu mereka melakukan persediaan awal Ramadan dan Syawal.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada peruntukan RM30 juta yang dipersetujui Bernas untuk disalurkan bagi menyokong usaha kerajaan membela nasib pesawah miskin. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp