TERKINI

Cadangan URA akan sebabkan Melayu berkurangan di bandar – Mahathir

Mahathir Mohamad (kiri) – malayadaily.com

PUTRAJAYA, 4 Mac 25 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan mengakibatkan berkurangnya orang Melayu di dalam bandar.

Dalam entri terbarunya di media sosial, Dr Mahathir berkata penduduk miskin akan dikeluarkan kerana pembaharuan yang dibuat adalah jenis pembangunan yang mewah.

“Si miskin tidak mampu sewa atau beli flat yang harganya tinggi. Maka berkuranglah penduduk Melayu dalam bandar. Usaha Tun Razak untuk perbanyakkan orang Melayu dalam bandar akan terhapus.

“Bandar akan jadi tempat orang bukan Melayu. Katanya.

Tambah Mahathir, sungguhpun pembaharuan bandar perlu dilakukan, namun caranya bukanlah dengan mengeluarkan orang Melayu dari bandar.

“Pembaharuan bandar perlu dilakukan. Tetapi caranya bukanlah dengan mengeluarkan orang Melayu dari bandar.

“Dalam perancangan pembaharuan ini Singapura diambil sebagai contoh. Apa yang dilakukan oleh Singapura ialah mengambil alih semua kampung-kampung Melayu dan membangunkan pangsapuri mewah. Ujar beliau.

Mahathir menambah, jika contoh Singapura bagi pembaharuan bandar ini ditiru, jumlah penduduk Melayu dalam bandar akan berkurangan dan pemisahan kaum menjadi lebih luas.

“Penduduk kampung diagihkan di antara pangsapuri di tempat-tempat lain secara berkecamuk. Orang kampung Melayu tidak lagi hidup bersama. Mereka ditenggelamkan ke dalam perumahan yang majoriti bukan Melayu. Dengan ini kuasa politik orang Melayu terjejas.

“Perkara yang sama akan berlaku jika contoh Singapura ini ditiru. Jumlah orang Melayu dalam bandar akan kurang dan pemisahan antara Melayu dan bukan Melayu di negara ini akan jadi lebih luas.

“Dengan orang Melayu hidup terpencil di luar bandar segala kemudahan bandar akan terus tidak dinikmati oleh mereka.

“Dan perpaduan kaum tidak akan berlaku. Ujarnya.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini di peringkat akhir menyediakan draf Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) Malaysia yang pertama, dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, kata menterinya Nga Kor Ming.

Beliau berkata sehingga peringkat ini, kementeriannya telah mengadakan banyak sesi dialog awam dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kerajaan negeri lain.

URA yang bakal digubal kerajaan sebelum ini dikhuatiri pengkritik akan menjadi “pengkhianatan terbesar” kepada golongan miskin bandar apabila ia didakwa menyebabkan golongan terbabit berisiko diusir keluar. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp