TERKINI

Gaji Anak Muda : Pendidikan Tinggi Tak Jamin Upah Bermakna

KUALA LUMPUR, 22 Mei : Laporan oleh THE FUTURE mendedahkan model pekerjaan siswazah Malaysia kini berdepan krisis struktur yang mendalam apabila pendidikan tinggi tidak lagi menjamin pulangan upah yang bermakna.

Menurut laporan tersebut, siatusi bertambah buruk apabila siswazah di negara ini hanya memperoleh pendapatan ‘cukup-cukup makan’, tanpa ruang untuk menyimpan, melabur atau meningkatkan mobiliti sosial mereka.

Laporan bertajuk The ‘Gaji Cukup Makan’ Economy: When Higher Education Becomes an Economic Risk yang dibangunkan oleh Pusat Kajian Masa Depan Pasaran Buruh (EU-ERA) di bawah Future Studies Berhad (THE FUTURE) juga menegaskan bahawa angka tersebut boleh mengelirukan kerana ia merangkumi semua bentuk pekerjaan, tanpa mengambil kira padanan kemahiran atau tahap upah.

“Hakikatnya, lebih 70 peratus siswazah bekerja dalam sektor separa mahir dan tidak mahir dan lebih 65 peratus pemegang ijazah memperoleh gaji bulanan di bawah RM3,000.

“Ketidakpadanan yang meluas antara kelayakan akademik dan pekerjaan ini mencerminkan kemerosotan serius dalam pulangan pelaburan pendidikan tinggi,” memetik laporan tersebut.

Walaupun isu ketidakpadanan siswazah turut berlaku di negara maju, THE FUTURE menjelaskan bahawa situasi di Malaysia berada di tahap yang lebih teruk.

Ini disebabkan paras gaji rendah, sekali gus tidak memberi ruang perlindungan kepada mereka yang terlibat dalam pekerjaan di bawah kelayakan.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa jurang yang semakin melebar antara kelayakan, kualiti pekerjaan dan ganjaran tersebut mencabar kepercayaan tradisional bahawa pendidikan adalah laluan kepada mobiliti sosial.

Antara punca kepada permasalahan tersebut adalah pertumbuhan gaji yang perlahan, kelemahan dalam penyediaan pra-pekerjaan dan permintaan kemahiran yang lemah dari sektor swasta.

Faktor-faktor ini katanya telah mewujudkan trajektori gaji yang mendatar dan tertangguh, di mana siswazah gagal membezakan diri mereka dari segi pendapatan berbanding bukan siswazah, terutamanya pada fasa awal kerjaya. -Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp