TERKINI

GPS lancar petisyen atas talian, desak Menteri Pelancongan letak jawatan

Gambar oleh change.org

KUALA LUMPUR, 29 Nov 24 – Satu petisyen atas talian ‘Sejuta Rakyat Malaysia Desak Tiong King Sing Letak Jawatan’ telah dilancarkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Gerakan Pengundi Sedar (GPS).

Menurut kenyataan yang tertera dalam petisyen tersebut, desakan tersebut sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap tindakan King Sing sebagai Menteri Pelancongan yang mempersoalkan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL dan mendakwa ia telah mencetuskan tindak balas melampau batas dan mampu mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

“Kami rakyat Malaysia sebulat suara mendesak Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, TIONG KING SING LETAK JAWATAN sebagai menteri segera!

“Desakan ini tanda ketidakpuasan hati kami terhadap keputusan dan tindakan King Sing semasa memegang portfolio Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya sejak era kerajaan Madani.

Dalam petisyen tersebut, GPS menyenaraikan sebab mengapa King Sing patut meletakkan jawatan.

“Baru-baru ini, negarawan Tun Dr Mahathir melahirkan kekesalan melihat terlalu banyak papan tanda bertulisan Cina di sekitar bangunan membeli-belah di ibu kota. Isu tersebut mendapat perhatian Tiong King Sing.

“Tiong King Sing berkata isu penguatkuasaan peraturan papan dwibahasa telah mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas yang tidak perlu. Walhasil, pelancong persoalkan keterbukaan Malaysia.

“Kata Tiong lagi, kepelbagaian bahasa mencerminkan kemesraan negara terhadap pelancong.

“Sekali lagi Tiong King Sing GAGAL menjadi menteri yang menjaga kesenian dan kebudayaan tanah air. Tiong nampaknya sukar terima hakikat bahawa bahasa Melayu satu-satunya bahasa kebangsaan. Itu identiti negara kita!, tegas GPS.

Berikut antara sebab-sebab mengapa GPS mendesak King Sing meletakkan jawatan.

  1. Mengutamakan pelancong Cina
  2. Iktiraf Bak Kut Teh sebagai makanan warisan negara
  3. Bangga angkat budaya China, yang terbaru mengumumkan sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia
  4. Menteri yang tak fasih berbahasa Melayu
  5. Menggunakan kuasa menteri untuk turunkan pangkat penjawat awam
  6. Gesa rakyat bersifat terbuka dan terima permohonan maaf berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah
  7. Pertahahan isu kibar bendera China di Menara Condong, Teluk Intan
  8. Berpendirian bahawa berpakaian sopan dianggap ekstremisme agama menjadi punca pelancong tidak mahu ke Langkawi
  9. Pertahan pembukaan kasino di Sarawak dan tidak setuju ‘kasino beri lebih keburukan berbanding kebaikan’
  10. Tiong minta bukti rokok sebabkan kanser dengan alasan kena fokus pada pendidikan dulu.

Sehingga kini, pelbagai pihak membantah kenyataan King Sing antara wakil Perikatan Nasional, Ketua Pemuda UMNO serta rakyat dari pelbagai pihak.

Berdasarkan rekod semasa sehingga pagi ini, seramai 5,166 telah menandatangani petisyen tersebut. Petisyan atas talian ini boleh diikuti di sini.malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp