TERKINI

Hati-Hati Mentakrif Penurunan Kadar Inflasi – Pakar Ekonomi

foto mstar

SHAH ALAM, 3 April 2023 – Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali mengingatkan pihak berwajib supaya lebih berhati-hati dalam mentakrifkan penurunan kadar inflasi di negara ini.

Menurutnya, walaupun kadar inflasi dilaporkan menurun, namun tidak berlaku penurunan harga barang.

“Persoalan yang timbul, kadar inflasi yang semakin menurun, bukan harga. Kadar inflasi semakin rendah, semakin reda, apa ertinya bagi saya? Apa ertinya untuk pak cik, mak cik saya dan semua orang di sana?

“Di sini kita kena berhati-hati kerana kadar inflasi dan persoalan yang sering kita bincangkan (iaitu) kos sara hidup tidak sama.

“Kita bercakap tentang kos sara hidup, kita perlu lihat kepada konteks perbelanjaan, apa yang kita beli setiap hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kadar inflasi negara boleh mencapai unjuran 3.1 ke 3.3 peratus tahun ini jika kadar inflasi bulanan sedia ada kekal mereda.

Beliau berkata, kadar inflasi negara juga secara keseluruhannya telah mencapai tahap yang lebih stabil sejak Disember 2022.

Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata, daripada 552 harga yang dipantau Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hanya 66 harga yang mencatat penurunan harga.

Jelasnya, sebahagian besar iaitu 452 harga sememangnya meningkat.

“Dari 12 komposisi harga Indeks Harga Pengguna (IHP) semua mencatat peningkatan, kecuali telekomunikasi. Terima hakikat, umumnya harga sentiasa meningkat,” katanya.

Beliau berkata, menangani kos sara hidup memerlukan tindakan yang lebih berkesan dan sebaiknya harga mestilah adil kepada penjual dan pembeli.

Katanya, tindakan menurunkan harga mesti disandarkan kepada inisiatif dititik awal rantaian bekalan bukan titik akhir rantaian, jualan kepada pengguna.

“Malaysia mesti bersedia. ‘Murah’ bukan ciri sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Gaya dan budaya hidup mesti berubah sekiranya status negara maju dan berpendapatan tinggi yang kita sasarkan.

“Kuasa beli yang tinggi mesti menjadi sasaran utama. Harga umumnya akan sentiasa meningkat. Tindakan yang lebih penting, lebih berkesan dan mampan ialah meningkatkan tahap pendapatan bukan menjadikan harga barangan dan perkhidmatan murah,” katanya. – sumber Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp