TERKINI

Isu Kalimah ‘Allah’ : Segerakan Pindaan Undang-undang – Haniff Khatri

Haniff Khatri – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2023 – Peguam terkenal, Haniff Khatri mempersoalkan kesan penarikan balik rayuan kes Mahkamah Tinggi dalam isu kalimah ‘Allah’, menyebabkan kesukaran pihak berkuasa agama negeri untuk mereka melaksanakan tanggungjawab mereka.

Dalam satu video hantarannya di lamam sosial facebook, Haniff berkata kerajaan tidak sepatutnya menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung kes Mahkamah Tinggi melibatkan warga Sarawak, Jill Ireland yang menuntut hak menggunakan kalimah ‘Allah’ untuk tujuan agama dan pendidikan, memandangkan proses mahkamah pada masa itu boleh diteruskan sehingga ke mahkamah tertinggi.

“Tapi sekarang ini tanpa adanya rayuan dan tanpa adanya gubalan arahan baru, maka bagaimanakah pihak berkuasa dan majlis agama negeri masing-masing hendak melaksanakan tanggungjawab mereka (memantau penggunaan kalimah “Allah”).

Beliau kemudian menyatakan bahawa adalah wajar kerajaan menyelesaikan hal itu dalam tempoh 24 jam kerana kerajaan persekutuan dan negeri menghadapi kekangan dalam memantau penggunaan kalimah Allah.

“Jika seperti yang dinyatakan Perdana Menteri adalah bersamaan dengan kedudukan kerajaan pada 1986, maka gubalan arahan ini tidak akan mengambil masa lebih daripada 24 jam boleh dilakukan secara serta merta dan tidak perlu dilengahkan lagi.

“Saya juga percaya bahawa rakan-rakan kami yakni pengamal undang-undang di pejabat peguam negara jauh berkebolehan dengan kepakaran dan pengalaman mereka untuk melakukan pindaan tersebut dengan sesegera mungkin,” kata Haniff.

Menurut Haniff, langkah mempercepatkan pindaan itu adalah penting kerana 10 negeri di Semenanjung Malaysia mempunyai enakmen yang melarang sebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Haniff menegaskan susulan kes tersebut, polis dan jabatan kastam serta pihak berkuasa agama negeri berdepan kekangan daripada segi penguatkuasaan.

Ketika sesi dewan rakyat semalam, Anwar berkata pindaan dan pembatalan undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-raja berhubung kalimah “Allah”, adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan isu itu tidak lagi dipertikaikan di mahkamah selepas keputusan penting dalam kes Jill Ireland.

Perdana menteri berkata demikian sebagai respons kepada Takiyuddin Hassan (Perikatan Nasional-Kota Bharu) yang menggesa kerajaan kerajaan mewajarkan keputusan untuk menarik balik rayuan dalam kes Jil. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp