
KUALA LUMPUR, 11 Mac 25 – Aktivis Politik, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuat apa-apa untuk menyelesaikan kemelut pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, ditengah bandar Kuala Lumpur.
Menurutnya lagi, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri kali kedua, telah bertindak membekukan usaha pengambilan tanah Kampung Sungai Baru sehingga kerajaan selesai menyemak semula usaha tersebut.
“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali kedua beliau telah mengarahkan projek pembangunan tersebut dibekukan sehingga selesai melakukan kajian semula mengenai pelan pembangunan tersebut.
“Pada waktu itu juga, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan agar kadar pampasan pada penduduk Kampung Sg Baru dinaikkan sehingga RM3000 satu kaki persegi tetapi kini kadarnya hanya sejumlah RM450 satu kaki persegi.
“Kenapa kerajaan Madani di bawah kepimpinan PMX yang kononnya juara membela rakyat bawahan tidak bantu menyelesaikan kemelut pengambilan tanah di Kampung Sg Baru? Ujarnya.
Khairuddin dalam satu kenyataan kepada malayadaily menjelaskan bahawa beliau bersama Persatuan Penduduk Kampung Sg Baru telah menulis beberapa surat pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Pejabat Tanah Galian, pemaju perumahan tersebut, Malay Agriculture Settlement Kpg Baru, Perbadanan Pembangunan Kpg Baru dan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 2022.
“Malangnya, kami tidak pernah mendapat maklum balas yang sewajarnya.
“Maka pada 16 Jun 2022 saya telah mengetuai Persatuan Penduduk Kampung Sg Baru untuk buat laporan pada SPRM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
“Pada 23 Jun 2022 saya sekali lagi membawa Persatuan Penduduk Kampung Sg Baru membuat laporan polis di IPD Dang Wangi kerana mengesyakki ada elemen salah laku dalam pengambilan tanah Kampung Sg Baru.
Kritikan ini muncul ditengah-tengah kritikan meluas berhubung isu Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Semalam, dalam satu sidang media bersama wakil penduduk Kampung Sungai Baru, Mahathir mengulangi dakwaannya bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dicadangkan oleh Kerajaan, bertujuan untuk mengambilalih tanah usang milik orang miskin di bandar.
Dalam kenyataan yang sama, Khairuddin bertegas untuk memperjuangkan isu Kampung Sungai Baru kerana, menurutnya terdapat pelbagai masalah undang-undang wujud dalam isu tersebut. – malayadaily.com