TERKINI

Isu Ladang Babi Bukita Tagar : Pemuda PAS Sedia Jadi Benteng Penduduk Hulu Selangor

18 Jan — Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Bernam, YB Muizzuddin Mahyuddin, bersama ratusan penduduk berkumpul menyatakan bantahan secara aman terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor membina Ladang Ternakan Babi Moden berpusat di Bukit Tagar.

Dalam ucapannya, Muizzuddin menegaskan bahawa kawasan Bukit Tagar yang bersempadan dengan Dun Hulu Bernam perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan kepentingan penduduk tempatan.

“Bukit Tagar adalah kawasan berjiran dengan Dun Hulu Bernam, hari ini saya mewakili warga penduduk Dun Hulu Bernam menyatakan pandangan dan suara warga di sini terhadap cadangan memusatkan Ladang Ternakan Babi Moden di Bukit Tagar dengan kapasiti 100,000 ekor babi melibatkan 500 ekar tanah yang cukup luas.” Katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan negeri perlu melaksanakan kajian Impak Alam Sekitar dan Sosial terlebih dahulu, serta mendapatkan pandangan semua pihak berkepentingan. Jika kerajaan berpendapat tindakan ini wajar, Muizzuddin mencabar pihak berkuasa untuk turun sendiri berjumpa rakyat Hulu Selangor bagi mendengar pandangan mereka.

Penduduk risau tentang risiko pencemaran sumber air, memandangkan kawasan itu mempunyai Sungai Selangor, kolam takungan air, dan loji rawatan air yang menjadi nadi kehidupan 60 hingga 70 peratus penduduk Selangor. Antara kebimbangan lain termasuk limpahan kolam buangan babi semasa hujan lebat dan kemungkinan pencemaran larut resap ke dalam tanah yang menjejaskan sumber air mentah.

Beliau menambah bahawa banyak lagi isu telah disuarakan wakil masyarakat dalam himpunan aman itu, yang memerlukan penilaian menyeluruh oleh kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai pemusatan Ladang Ternakan Babi Moden di Bukit Tagar.

Projek Ladang Ternakan Babi Moden di Bukit Tagar melibatkan kapasiti 100,000 ekor babi di atas 500 ekar tanah, dan cadangan ini telah menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan serta aktivis alam sekitar berhubung potensi pencemaran air dan impak sosial. Kerajaan negeri masih belum mengeluarkan keputusan muktamad mengenai kelulusan projek berkenaan. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp