TERKINI

Isu papan tanda: Kenyataan Menteri memalukan, gesa kerajaan tukar Menteri Pelancongan – MP Bersatu

Mas Ermieyati Samsudin – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 26 Nov 24 – Ahli Parlimen Masjid Tanah (PN-BERSATU), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berhubung isu penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ketika menimbulkan isu ini di Parlimen, Mas Ermieyati menyifatkan kenyataan King Sing sebagai seorang Menteri amat memalukan.

“Saya terkejut dengan kenyataan Menteri MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) yang mendakwa tindakan DBKL memastikan peniaga mempamerkan papan tanda menggunakan bahasa kebangsaan akan mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing pelancongan negara.

“Ini adalah kenyataan yang tidak benar dan memalukan… sebagai Menteri Pelancongan sepatutnya (King Sing) mengangkat budaya kita dan mempertahankan seni dan budaya,” katanya ketika perbahasan Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam ucapan yang sama, Mas Ermieyati yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membangkitkan mengenai laporan Berita Harian bertarikh 19 November 2018 mengenai titah arahan Sultan Selangor supaya menanggalkan papan tanda bertulisan Cina ketika merujuk isu terbabit.

Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan King Sing sangat berbahaya dan itu boleh dianggap sebagai menyentuh isu 3R yang merujuk agama, bangsa dan institusi raja.

“Tengok sajalah dekat Thailand dan Indonesia tak ada pun sibuk nak ‘please’ (jaga hati) pelancong (sampai nak) menggunakan bahasa mereka sendiri… tetapi kat Malaysia ini kenapa pula nak buat macam tu.

“Ini memalukan… saya rasa pelancong negara China tak hairan pun (kalau papan tanda di Malaysia tak guna bahasa Cina), mereka tetap boleh masuk kedai dan masih boleh melawat.

Dalam hujahnya, Mas Ermieyati menggesa kerajaan untuk menukar portfolio Menteri tersebut.

“Sebab itu saya suka cadang kepada Kerajaan MADANI tolong tukar Menteri Pelancongan kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga penguatkuasaan atau ganti (sebagai menteri di) KPDN pun tak apa.

“Biar dia (king Sing) pergi ‘raid’ (serbu) pun tak apa sebab memang sesuai (tindakan itu) dengan penguatkuasaan,” katanya. – Unit Komunikasi MP (BERSATU)

Facebook
Twitter
WhatsApp