
NILAI, 21 Mac 25 – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta golongan pendidik agar tidak menjadikan pelajar terutama murid sekolah rendah sebagai bahan kandungan di laman media sosial masing-masing.
Beliau berkata hal ini kerana kandungan sedemikian boleh disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab termasuk bagi tujuan jenayah seksual kanak-kanak.
“Sekiranya guru ini seorang pempengaruh, carilah kandungan lain kerana akan timbul beberapa isu terhadap keselamatan, data peribadi dan sebagainya jika dedahkan wajah atau nama murid ke dalam media sosial mereka.
“Ia mungkin membolehkan kanak-kanak jadi mangsa jenayah seksual, pengantunan kanak-kanak atau pengantunan seksual… kita nak elak jenayah dan masalah ini berlaku, jadi guru jangan benarkan imej pelajar mereka dimasukkan di dalam media sosial,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam perkara ini dan menjadikan ia fokus utama untuk memastikan Internet selamat digunakan.
Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata guru wajar memahami trend terkini membabitkan kandungan kanak-kanak di media sosial supaya generasi itu dapat dikawal dan diberikan penjelasan sekali gus tidak kecanduan dengan pengisian negatif di Internet
“Media sosial tidak sesuai untuk kanak-kanak, menerusi jelajah itu nanti, mesej yang saya mahu sampaikan kepada guru sekolah rendah ialah agar mereka menghentikan penggunaan TikTok untuk membuat kandungan melibatkan pelajar.
“Dalam media sosial mereka merakam serta menyimpan data dan apabila kita masukkan kandungan, sebenarnya kita telah menyerahkan maklumat diri dan keadaan sekeliling kepada pelayan dan platform yang dimiliki kebanyakan negara asing, itulah sebab kita perlu berwaspada dan tahu apa kandungan yang sesuai untuk dimasukkan dalam media sosial,” katanya. – Bernama