
SHAH ALAM, 13 Mac 25 – Peguam terkenal, Rafique Rashid Ali mengingatkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil siapa menteri kewangan pada tahun 1998, apabila beliau mendakwa kerajaan Mahathir melakukan ‘bail out’ berkaitan pemerolehan Petronas untuk Konsortium Perkapalan Berhad pada 1998.
Menurut Rafique, Menteri Kewangan pada masa itu di Dewan Rakyat dan juga di media, memuji tindakan tersebut dan menolak kritikan mengenai dakwaan bailout itu adalah tidak berasas.
“Nampaknya Fahmi mudah lupa. Mungkin kerana Fahmi orang Melayu juga yang mudah lupa.
“Menteri Kewangan pada masa itu tidak lain tidak bukan ketua parti Fahmi Fadzil sendiri merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Di Dewan Rakyat dan juga di media, Anwar Ibrahim memuji tindakan Perdana Menteri yang amat disayangi dan disanjung Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad (waktu itu) dan dinyatakan kritikan mengenai ‘bailout’ adalah tidak berasas. Ujarnya.
Tambah Rafique, Petronas pada ketika itu juga telah menjelaskan bahawa keputusan tersebut adalah satu transaksi komersial yang akan menguntungkan Petronas kerana ianya memberikan Petronas aset-aset perkapalan pada harga yang amat baik.
“Pada tahun 1998 , Tan Sri Hassan sendiri berkata ianya adalah satu transaksi komersial yang akan menguntungkan Petronas kerana ianya mendapatkan Petronas akses pada aset-aset perkapalan pada harga yang amat baik demi kepentingan konglomerat tersebut. Orang korporat kata “fire sale’.
“Akhirnya sejarah membuktikan bahawa urusan perniagaan antara Petronas dan KPB melahirkan syarikat perkapalan global iaitu MISC. Katanya.
Rafique yang juga Ketua Penerangan parti Pejuang menegaskan, perbezaan transaksi tahun 1998 yang mana ia bertujuan untuk wujudkan konsortium perkapalan mega, manakala transaksi tahun2025, hanya untuk membayar hutang.
Terdahulu, kerajaan menafikan dakwaan bahawa suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) merupakan satu bentuk ‘bailout’ bagi menyelamatkan syarikat berkenaan.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan bahawa dana tersebut adalah pelaburan strategik oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam bentuk saham boleh ditukar, bukan bantuan kewangan tanpa pulangan.
“Ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada ‘bailout’ seperti era bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dulu.
“Ini Madani, bukan Mahathir,” katanya memetik laporan media.
Baru-baru ini, SAPURA Energy Bhd (SEB) dilaporkan memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH). Berita tersebut mengundang kritikan dari pelbagai pihak yang menyifatkan ianya suatu bentuk ‘bail out’. – malayadaily.com