TERKINI

Kenyataan Nga Kor Ming Cetus Polemik Baharu Isu Penternakan Babi Di Selangor

20 Feb – Kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang menyarankan agar kerajaan negeri berbincang semula dengan Sultan Selangor serta mengemukakan pelan penyelesaian berhubung isu penternakan babi, mencetuskan polemik baharu dalam kalangan pemerhati politik dan perundangan.

Kenyataan tersebut timbul selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini memperjelaskan pendirian berhubung arah dasar pentadbiran negeri. Bagi sesetengah pihak, cadangan rundingan semula itu memberi gambaran seolah-olah prinsip dasar yang telah dititahkan masih boleh dirunding.

Penganalisis, Dr Armin Baniaz Pahamin berpandangan bahawa dalam sistem Raja Berperlembagaan, apabila Sultan telah menyatakan pendirian jelas mengenai prinsip sesuatu dasar negeri, kerajaan bertanggungjawab melaksanakannya melalui saluran pentadbiran dan undang-undang yang sah.

Menurut beliau, ruang perbincangan hanya terhad kepada aspek pelaksanaan seperti tempoh peralihan, kaedah teknikal, pampasan atau pengurusan kesan ekonomi — bukan lagi pada prinsip dasar yang telah ditetapkan.

“Jika kenyataan politik memberi isyarat bahawa prinsip masih boleh dinegosiasikan, ia boleh menimbulkan tafsiran yang tidak selari dengan kedudukan institusi Raja dalam struktur kenegaraan,” katanya.

Isu tersebut turut diperhangatkan apabila tokoh politik seperti Ronnie Liu membangkitkan kebimbangan bahawa penutupan menyeluruh akan menjejaskan hak komuniti bukan Islam dan kebebasan ekonomi. Naratif sedemikian, menurut Dr Armin, cuba mengalihkan isu kepada persoalan hak minoriti, sedangkan semua aktiviti ekonomi tertakluk kepada lesen, zon guna tanah, peraturan kesihatan awam dan kawalan alam sekitar di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau menegaskan bahawa lesen perniagaan bukan hak kekal, sebaliknya kebenaran bersyarat yang boleh diubah atau ditarik balik apabila dasar negeri berubah demi kepentingan awam.

Dakwaan seorang pengguna media sosial bahawa pengharaman penternakan babi memerlukan pindaan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan turut disifatkan tidak tepat. Menurut Dr Armin, Perkara 8 melindungi kesamarataan individu di sisi undang-undang, bukannya memberi hak mutlak untuk menjalankan sesuatu industri tanpa kawalan kerajaan.

Dalam konteks federalisme Malaysia, urusan tanah, pertanian dan kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri. Justeru, kerajaan negeri mempunyai kuasa perlembagaan untuk menentukan dasar guna tanah dan syarat pelesenan.

Beberapa pimpinan parti termasuk Malaysian Chinese Association pula menekankan pendekatan pemodenan dan pelaksanaan berfasa. Namun Dr Armin berpendapat pendekatan tersebut tidak wajar ditafsir sebagai ruang untuk membuka semula perbahasan mengenai prinsip dasar yang telah dititahkan.

Beliau turut mengingatkan bahawa cubaan membingkaikan isu ini sebagai konflik kaum atau agama berpotensi mengelirukan rakyat serta merosakkan kefahaman terhadap struktur Raja Berperlembagaan.

“Malaysia bukan republik liberal. Dalam sistem kita, terdapat institusi yang kedudukannya melangkaui pertikaian partisan. Selepas titah dikeluarkan, perbahasan mengenai prinsip sepatutnya selesai. Yang tinggal hanyalah soal pelaksanaan secara teratur dan adil,” tegasnya.

Menurut beliau, kegagalan membezakan antara rundingan teknikal dan rundingan prinsip boleh mewujudkan preseden berbahaya bahawa tekanan politik mampu mengatasi struktur kenegaraan. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp