
KUALA LUMPUR, 11 Okt 24 – Ahli Parlimen Masjid Tanah, Dato Wira Hajah Mas Ermieyati Samsudin menyangkal kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengatakan lawatan 165 kadet kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) adalah aktiviti pertukaran budaya antara dua kelompok atau kumpulan pelajar.
Dalam satu kenyataan, Mas Ermieyanti mendakwa bahawa 165 kadet tersebut bukanlah pelajar universiti seperti yang didakwan oleh Fadhlina.
“Kenyataan ini tidak benar, kerana 165 orang kadet PLAN dari kapal Qi Jiguang (kapal latihan) ini adalah mereka yang dalam proses dan tempoh peralihan untuk menjadi kelasi penuh tentera laut PLAN China dan bukanlah pelajar universiti seperti yang dinyatakan oleh YB Fadhlina.
“Ianya seakan sama seperti anak-anak kapal KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalani latihan untuk menjadi kelasi penuh TLDM. Ujarnya.
Mas Ermieyanti yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berkata, lawatan yang dikatakan sempena menyambut hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia – China juta tidak benar kerana ianya berlaku pada 31 Mei 2024, sebaliknya sambutan pada 1 Oktober 2024 adalah sambutan kejayaan revolusi Komunis China.
“Saya juga ingin menarik perhatian umum bahawa sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia – China disambut pada 31 Mei 2024 manakala sambutan kejayaan revolusi Komunis China di sambut pada 1 Oktober 2024.
“Apakah lawatan ini dibuat sempena sambutan hubungan diplomatik 50 tahun Malaysia dan China atau sempena sambutan revolusi Komunis China sekaligus meraikan penubuhan RRC? Katanya.
Dalam kenyataan yang sama, beliau menempelak kerajaan Pulau Pinang yang mengadakan sambutan tersebut ketika isu integriti kedaulatan maritim dan tuntutan bertindih yang dibuat oleh RRC di kawasan perairan Laut China Selatan menjadi pertikaian.
“Tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Swasta Chung Ling membuat sambutan besar-besaran menerima kunjungan kadet dan kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan ini adalah bukti kecuaian pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang tidak sensitif terhadap situasi integriti kedaulatan maritim dan tuntutan bertindih yang dibuat oleh RRC di Luconia Shoals atau gugusan Beting Patinggi Ali (BPA) yang terletak 84 batu nautika dari pesisir pantai Sarawak.
“Saya mahu bertanya, apakah sewaktu aktiviti pertukaran budaya yang dibuat di Sekolah Menengah Swasta Chung Ling, kadet-kadet PLAN ini ada menekankan bahawa Laut China Selatan merupakan wilayah laut mereka di bawah ‘nine-dash line’?
“Saya juga ingin bertanya apakah pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) maklum berkenaan aktiviti ‘port call’ yang dibuat oleh PLAN Task Group 83 di Pulau Pinang serta memantau secara dekat sambutan luar biasa yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kadet dan kelasi PLAN China ini?
Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan dakwaan kehadiran tentera China ke sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang, Sabtu lalu adalah tidak benar sebaliknya mereka adalah terdiri daripada sekumpulan pelajar termasuk pensyarah dari Naval University of China.
Menteri, Fadhlina Sidek, berkata rombongan yang membawa seramai 165 pelajar termasuk pensyarah itu adalah berkaitan program sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China.
Terdahulu, memetik laporan Berita Harian, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kunjungan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim, pada sabtu.
Bagaimanapun, lawatan itu mencetuskan kontroversi apabila kunjungan sebahagian daripada anggota tentera laut China berkenaan ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) tular di beberapa platform sosial media. – malayadaily.com