TERKINI

Lencana Bendera Malaysia : Pelajar Sekolah Persendirian Patut Dilibatkan – Prof Murad

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 Mac 25 – Ahli akademik, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican mencadangkan agar langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pemakaian lencana bendera Malaysia ke atas semua pelajar di sekolah-sekolah dibawah KPM, turut merangkumi sekolah-sekolah swasta dan persendirian.

Ketika dihubungi oleh malayadaily, beliau berkata, sekiranya kerajaan ingin menanamkan semangat patriotisme, ia perlu dikenakan kepada setiap pelajar sekolah tanpa ada diskriminasi.

“Badge bendera Malaysia pada uniform sekolah amat wajar merangkumi semua sekolah – kerjaaan, bantuan kerajaan, agama dan persendirian.

”Apakah hanya sekolah di bawah kementerian pelajaran saja? Di mana kuasa dan bidang kuasa kerjaaan ke atas sekolah-sekolah swasta dan persendirian?

“Dan jika hendak menanamkan semangat patriotisme, semangat taat kepada negara dan tanah air, ia perlu dikenakan kepada setiap pelajar sekolah. Tidak wajar wujud diskriminasi/pengecualian dari segi pelaksanaannya. Ujarnya.

Ahmad Murad juga mencadangkan agar KPM memperkenalkan mata Sejarah Kepulauan Melayu untuk semua sekolah baik dibawah kerajaan mahupun swasta.

“Perkenalkan Mata pelajaran Sejarah Kepulauan Melayu pada SEMUA sekolah – termasuk persendirian/swasta.

“Latih semula guru yang mengajar sejarah – semua jenis sekolah termasuk sekolah persendirian.

“Pacakan bendera Malaysia di depan semua bilik darjah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 pada semua jenis sekolah, termasuk sekolah persendian. Katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perkara ini adalah berkaitan dengan kepentingan nasional dan sekiranya sekolah persendirian dibiarkan sendiri, akan akan menyebabkan muncul ‘negara dalam negara’.

“(Ini) bukan meraih undi dan kepentingan ideologi parti. Tiada istilah apologetik terhadap sekolah bukan kerajaan.

”Sebab apabila sekolah persendirian dibiarkan bersendiri, maka akan muncullah negara dalam negara. Tambahnya.

Baru-baru ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan akan melaksanakan pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam murid di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya mulai 21 April 2025 secara berperingkat.

Langkah ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia dengan tujuan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan pendidik.

Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, setiap murid akan dibekalkan dua unit lencana Jalur Gemilang secara percuma untuk sesi persekolahan 2025/2026. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp