PUTRAJAYA, 24 Jun 24 – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan suatu usaha yang dinamakan Projek 66.6, di sini, Sabtu lalu.
Dalam ucapan tersebut, Mahathir berkata, Projek 66.6 ini adalah usaha yang bertujuan memperkasa wanita muda Melayu dan Bumiputera dalam bidang kepemimpinan masyarakat, ia juga menyasarkan untuk mencapai 30 peratus wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi.
“Dan saya percaya semua sedia maklum bahawa usaha ini digelar Projek 66.6 sebagai penetapan satu sasaran untuk menempatkan 30 peratus wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi. Ujarnya.
Kata Mahathir, nisbah jantina di dalam negara ketika ini hampir sama antara kaum wanita dan lelaki iaitu 47.4 peratus wanita berbanding 52.6 peratus lelaki.
Tambah beliau, masyarakat moden masa kini sudah berubah dan menghargai peranan serta sumbangan kaum wanita kepada masyarakat.
“Pandangan umum juga berpendapat bahawa rugilah sesuatu masyarakat yang tidak menerima atau menggalakkan kehadiran kaum wanita di dalam kesemua aspek pembangunan negara.
“Malangnya, pendapat serta pandangan ini tidak lahir menjadi kenyataan dan kerana itu, di dalam masyarakat kita hari ini, ketidak-seimbangan peranan wanita berbanding lelaki terus kekal.
“Jika ini realiti yang kita hadapi, maka perlulah kita mengambil langkah dan inisiatif di luar kerangka yang sedia ada dan mencipta peluang-peluang baru yang mampu memperkasa kaum wanita dengan lebih efektif. Tegasnya.
Menurut Mahathir lagi, sebelum sesuatu inisiatif yang mahu merubah masyarakat berpeluang untuk berjaya, masyarakat itu perlu menerima dan memperakui kepada perlunya perubahan tersebut.
“Di dalam bahasa mudah, untuk inisiatif memperkasa wanita ini berjaya, masyarakat perlu menerima bahawa memperkasa wanita adalah satu usaha murni yang perlu di sokong.
“Berdasarkan kefahaman ini, menyedarkan masyarakat mengenai perlunya memperkasa wanita menjadi sama penting dengan inisiatif memperkasa wanita itu sendiri. Katanya.
Dalam majlis tersebut, mantan Perdana Menteri sebanyak dua kali ini merakamkan tahniah kepada Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin yang menjadi pengasas kepada inisiatif PROJEK 66.6 yang dianjurkan oleh Wanita Malaysia Minda Baharu. – malayadaily.com