
PUTRAJAYA, 10 Mac 25 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi dakwaannya bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dicadangkan oleh Kerajaan, bertujuan untuk mengambilalih tanah usang milik orang miskin di bandar.
Dalam satu sidang media, hari ini, Mahathir berkata sekalipun mahu memperbaharui kawasan usang, tidak boleh dengan cara meminggirkan penduduk kampung yang miskin.
“Saya tahu biasanya kawasan-kawasan miskin ini semakin lama semakin usang, buruk, dan perlu diperharui tetapi nak baharu pun naklah jangan dengan cara membuang penduduk-penduduk di kampung barulah, ataupun kawasan-kawasan yang usang yang lama ini. Katanya.
Tambah Mahathir, cadangan ini kononnya mahu mengikut Singapura namun akhirnya orang Melayu dipecahkan-pecahkan dan tidak lagi mempunyai pemimpin di kawasan bandar.
“Kononnya nak ambil contoh Singapura, di Singapura dulu ada kampung Melayu, la ni tak dak dah ..dah hilang dah.
“Di mana pergi kampung Melayu di Singapura?, sudah diambil alih oleh developer-developer yang membangunkan kawasan rumah mewah pencakar langit dan sebagainya.
“Dan orang Melayu yang dulu duduk di kampung Melayu diagih-agihkan supaya mereka tidak boleh bersama.
“Mereka bubuh dua orang di kampung ini, dua orang di flat itu, dua orang di tempat lain, jadi mereka sekarang ni tak ada satu kumpulan, tak ada pemimpin pun, itulah yang akan berlaku di Malaysia apabila kita jadikan Singapura sebagai contoh. Ujarnya.
Sidang media hari ini turut disertai sekumpulan penduduk Kampung Sungai Baru yang membantah pengambilan tanah oleh kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut.
Untuk rekod, banyak pihak membantah cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen yang akan datang.
Perdana Menteri sebelum ini juga dilaporkan memberi jaminan penggubalan URA tidak akan memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengusir mana-mana pemilik harta asal, tanpa mengira etnik. – malayadaily.com