8 Januari – Politik Melayu hari ini berada di persimpangan kritikal, kata Dr Armin Baniaz Pahamin, dalam analisisnya mengenai pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan perpecahan dalam blok politik Melayu.
Menurut Dr Armin, pemecatan pemimpin Melayu dari blok pembangkang bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah dalaman parti, tetapi memburukkan lagi perpecahan sokongan Melayu. “Apa yang sedang berlaku dalam Bersatu bukan lagi soal prinsip atau perjuangan rakyat. Rakyat Melayu hanya mempunyai ruang yang semakin terhad untuk bernaung secara politik,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO kini menghadapi krisis moral dan integriti, dengan presidennya berdepan puluhan pertuduhan mahkamah dan bekas presiden menjalani hukuman penjara. Sebaliknya, Bersatu muncul sebagai alternatif, tetapi dikatakan semakin tidak toleran terhadap perbezaan pendapat. Pemecatan tokoh seperti YB Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah, serta penggantungan pimpinan lain, menurut beliau, mencerminkan budaya kepimpinan berunsur kuku besi.
PAS pula, meskipun melalui proses penjenamaan semula, masih menghadapi cabaran besar untuk diterima sebagai peneraju negara majmuk. Akibatnya, ruang politik Melayu dilihat semakin menyempit, dengan setiap alternatif terperangkap dalam konflik dalaman dan perebutan kuasa.
Dr Armin menegaskan bahawa masalah sebenar bukan kekurangan parti atau pemimpin, tetapi kekurangan kebijaksanaan dan jiwa kepimpinan. Menurutnya, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyeru pembentukan konsep Payung Besar, satu wadah penyatuan bangsa Melayu yang melangkaui sempadan parti, ideologi dan kepentingan individu.
“Di bawah Payung Besar, setiap individu hadir bukan sebagai pemimpin parti, ahli politik atau ketua NGO, tetapi sebagai orang Melayu yang duduk sama rata, berdiri sama tinggi, dan bebas daripada hierarki kuasa,” jelas beliau.
Dr Armin menambah bahawa politik yang menenangkan rakyat adalah politik yang menekankan keikhlasan, kebijaksanaan dan kemampuan menyatukan, bukan jawatan atau pengaruh. Poster boy atau calon Perdana Menteri awal, menurut beliau, hanya melahirkan puak dan membuka ruang sabotaj dalaman.
Beliau mengingatkan bahawa jika trend pemecatan dan autoritarianisme dalam parti pembangkang berterusan, politik Melayu berisiko kehilangan rakyatnya sendiri, sekali gus melemahkan bangsa Melayu secara keseluruhan.
“Jika rakyat pergi, tidak ada lagi yang tinggal untuk dipertahankan. Bangsa Melayu akan terkubur seperti di Pulau Pinang dan Singapura,” tegasnya.
Dr Armin menegaskan bahawa masa depan Melayu bukan ditentukan oleh siapa yang paling kuat, tetapi siapa yang paling bijak menyatukan rakyatnya. – malayadaily