PUTRAJAYA, 5 Dis 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa kerajaan agar tidak menambah kawasan pilihanraya memandangkan jumlah sedia ada sudah memadai untuk suara rakyat didengar di Parlimen.
Dalam satu kenyataan, semalam, Mahathir memetik pandangan bekas Speaker Dewan Rakyat yang berkhidmat paling lama dalam sejarah iaitu Tun Mohamed Zahir, selain daripada jumlah ahli yang terlalu ramai iaitu 222 ahli, kualiti penyertaan dan perbahasan juga menjadi perkiraan, malah masa untuk perbahasan juga mengambil masa yang terlalu lama.
“Pendapat Tun Zahir ialah Dewan Rakyat mempunyai terlalu ramai ahli. Kesannya ialah dewan terpaksa bersidang amat lama kerana ramai juga ahli mengambil bahagian dalam perbahasan.
“Kata Tun Zahir, tidak usah tambahlah ahli dewan kerana dewan sudah penuh sesak dan sidang berpanjangan. Ujarnya.
Mahathir juga berkata, daripada 222 ahli hanya beberapa orang sahaja dilihat aktif berbahas dan berbahas secara ilmiah sementara yang lain tidak dapat berbahas dan berhujah dengan bernas.
“Sekarang kita dengar Kerajaan bercadang untuk tambah bilangan ahli dewan. Ramai orang ramai yang menolak cadangan ini.
“Mereka mengikuti perbahasan dan mereka mendapat dari 222 ahli cuma 10 orang sahaja yang mengambil bahagian dalam perbahasan secara berilmiah. Yang lain tidak bersuara atau berhujah dengan bernas.
“Tambahan ahli tidak akan memperdengar perbahasan yang lebih baik. Negara tidak akan mendapat banyak manfaat. Tegas Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali.
Tambah beliau, kerajaan perlu mendengar suara majoriti rakyat supaya tidak perlu menambah kawasan pilihanraya.
“Dengan 222 ahli Dewan sudah memadai untuk masalah rakyat di dedah dalam dewan. Sebenarnya jika diambil kira ahli yang aktif, 100 orang sudah cukup.
“Saya turut mendesak Kerajaan supaya tidak tambah kawasan pilihanraya. Katanya.
Persempadanan semula kawasan pilihan raya boleh dilakukan setiap 8 tahun sekali. SPR di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, bertanggungjawab mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri berlandaskan prinsip dan tatacara ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.
Prinsip berhubung persempadanan pilihan raya antaranya ialah kewajaran memudahkan semua pemilih keluar mengundi semasa pilihan raya dan bahagian pilihan raya tidak merentasi sempadan negeri, serta mengambil kira kemudahan pentadbiran yang boleh didapati dalam bahagian pilihan raya itu untuk mengadakan jentera yang perlu, bagi pendaftaran dan pengundian.
Pada masa ini, jumlah Bahagian Pilihan Raya Persekutuan yang berkuatkuasa adalah sebanyak 222 bahagian, manakala Bahagian Pilihan Raya Negeri pula adalah sebanyak 600 bahagian. – malayadaily.com