SHAH ALAM, 30 April 2023 – Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Farah Marshita Abdul Patah menggesa penyanyi Datuk Hattan memohon maaf secara terbuka atas tindakannya yang memalukan pembaca berita.
Kenyataan oleh NUJ semalam mempertikai tindakan penyanyi tersebut yang dilihat seolah memperlekeh tugas wartawan.
“NUJ gesa Datuk Hattan memohon maaf secara terbuka kerana tindakannya menegur ketika siaran langsung berkenaan, bukan sahaja memalukan pembaca berita malah dilihat memperlekehkan tugas pengamal media.
Dalam kenyataan yang sama NUJ memuji pembaca berita wanita berkenaan yang kekal tenang dan profesional meskipun diasak dengan soalan kurang cerdik penyanyi berkenaan yang menuduhnya sebagai ‘tidak buat kerja’.
NUJ menggesa supaya penyanyi Datuk Hattan bertindak lebih profesional, sekiranya beliau tidak mahu menjawab soalan yang diajukan, beliau boleh dengan sopan menolak pertanyaan itu.
Dalam perkembangan yang sama Hattan dikecam teruk oleh netizen selepas kontroversinya yang ‘menyekolahkan’ pembaca berita sebuah stesen televisyen.
Ia berpunca dalam satu sesi wawancara secara langsung antara pembaca berita Awani menerusi perbualan telefon dengannya berkenaan Allahyarham Mael XPDC.
Memulakan perbualan, pembaca berita menyatakan menegnai lirik lagu XPDC yang ‘makan dalam’, namun Hattan terus menempelak wanita itu apabila mendakwanya tidak membuat kajian terlebih dulu.
Malah beliau terus bertanyakan pula siapa pencipta lagu XPDC yang kemudian gagal dijawab dengan betul oleh pembaca berita.
Namu begitu, pembaca berita itu bertindak profesional ketika berdepan situasi tidak dijangkakan itu apabila tetap mengucapkan terima kasih atas perkongsian diberikan.
Namun, sekali lagi Hattan itu membuat kejutan apabila terus meletakkan telefon sebelum sempat ucapan berkenaan tamat. – malaydaily.com