19 Jan — Gagasan Payung Besar Melayu disifatkan sebagai wadah penyatuan bangsa yang lebih tulen dan lahir secara organik, berbanding inisiatif Rumah Bangsa UMNO yang diumumkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwa sekadar usaha menghidupkan kembali sokongan parti yang semakin merosot.
Menurut Dr Armin Baniaz Pahamin, Rumah Bangsa UMNO tidak mencerminkan realiti sokongan orang Melayu ketika ini, malah digambarkan sebagai struktur yang kehilangan penghuni dan pengaruh.
“Rumah Bangsa UMNO yang diumumkan oleh Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah rumah kosong dan usang dengan hanya 28 peratus penghuni.”
Beliau berpandangan, penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Bangsa oleh UMNO lebih menyerupai usaha menarik semula keahlian parti, bukannya penyatuan Melayu yang sebenar.
“Sebab itulah Presiden Umno umum penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Bangsa, yang lebih menyerupai satu bentuk ‘membership drive’ untuk mengisi semula rumah usang yang kosong itu. Ujarnya.
Dr Armin turut menegaskan bahawa kemunculan gagasan Payung Besar Melayu adalah reaksi semula jadi terhadap kegagalan UMNO dan parti-parti Melayu lain dalam memperjuangkan kepentingan bangsa secara menyeluruh. Beliau menekankan bahawa platform tersebut tidak terikat dengan kepentingan kepartian atau individu.
“Payung Besar Melayu adalah sebuah wadah penyatuan yang melangkaui sempadan parti politik, ideologi dan kepentingan peribadi.”
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa penyatuan Melayu tidak boleh dijadikan retorik bermusim atau alat untuk memperkukuh kedudukan politik individu, sebaliknya perlu berpaksikan keikhlasan serta kepentingan jangka panjang bangsa, termasuk aspek ekonomi, pendidikan dan masa depan generasi akan datang.
“Penyatuan yang tulen mesti berpaksikan kepada kepentingan bangsa meliputi kedudukan orang Melayu, kelangsungan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan masa depan generasi akan datang, dan bukan kelangsungan parti atau individu tertentu. Katanya.
Terdahulu, ketika Persidangan Agung (PAU2026), Umno mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa sebagai sebahagian usaha penjenamaan semula parti itu menjadi ‘rumah besar Orang Melayu’ menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jawatankuasa berkenaan ditubuhkan bagi menerima kemasukan atau penyertaan semula mana-mana pihak baik secara individu atau ‘en bloc’ – langkah yang dilihat sebagai usaha Umno untuk mengembalikan ‘taringnya’ sebagai parti politik Melayu terbesar di Malaysia. – malayadaily