
KUALA LUMPUR, 25 Feb 25 – Peguam, Rafique Rashid mengingatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said bahawa hanya ada satu VVIP yang menjadi menteri kabinet, yang mendapat pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi 47 kes selepas VVIP tersebut diperintah membela diri.
Dalam satu entri dilaman sosial facebook, Rafique berkata VVIP yang mendapat DNAA tersebut merupakan Presiden UMNO dimana beliau mendapat DNAA tersebut selepas dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri 1 Malaysia.
“VVIP itu adalah Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri 1 Malaysia.
“Pada 3 Disember 2022 VVIP ini dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 Malaysia atas nasihat Perdana Menteri.
“Pada 4 September 2023 , VVIP ini diberikan DNAA bagi 47 kes yang mana VVIP ini telah dipanggil bela diri. Ujarnya.
Rafique yang juga Ketua Penerangan parti Pejuang Tanah Air juga berkata, setelah tujuh belas bulan mendapat DNAA, pejabat Peguam Negara masih belum menyatakan hasil siasatannya.
“Kini sudah 17 bulan dan siasatan masih belum selesai?
“Maka hanya satu VVIP yang dapat DNAA pada masa VVIP ini menjadi Timbalan Perdana Menteri 1.
“Dari 2018 hingga 2024, hanya satu sahaja VVIP yang peroleh DNAA semasa menjawat jawatan Kabinet.
“VVIP ini peroleh DNAA pada zaman pemerintahan PMX. Tambah beliau.
Kenyataan Rafique adalah susulan kenyataan Azalina dalam jawapan bertulis di Parlimen yang menyatakan seramai 18 VIP sepanjang 2017 dan 2024 diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA).
Memetik laporan media, keputusan untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) adalah selaras dengan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang mana Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.
“Dalam menjalankan kuasa berkenaan, Peguam Negara akan menggunakan budi bicaranya berasaskan keterangan yang diperoleh daripada pihak penguat kuasa, perkembangan dan keterangan baharu yang wujud semasa perbicaraan kes berlangsung,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Azalina tidak menyatakan siapa VIP yang diberikan DNAA itu. – malayadaily.com