TERKINI

Pembunuhan Ismail Haniyeh, Mahathir marah dan berduka

Mahathir Mohamad (3 dari kiri), Ismail Haniyeh (3 dari kanan) – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 2 Ogos 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan perasaan sedih dan marah ke atas pembunuhan pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh pada Rabu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, tindakan itu kekal sebagai peringatan betapa hinanya Israel dan pihak-pihak yang menyokong rejim Zionis itu sebagai hipokrit dan pengganas yang sebenar.

“Saya berasa bangga dan bertuah dapat berkenalan dengan Ismail selama ini. Seorang lelaki yang lembut tutur kata, namun memiliki hati seperti singa.

“Perjuangan Ismail tanpa mengenal penat lelah dalam memperjuangkan pembebasan Palestin menentang penjajahan Israel, sesuatu yang harus diteladani setiap pejuang kemerdekaan.

“Palestin dan seluruh dunia kehilangan seorang pemimpin yang hebat dan seorang pejuang kebebasan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sosial Facebook beliau, di sini pada Khamis.

Sambil menyifatkan Israel sebagai sebuah negara ‘penyangak dan melakukan genosid’ Mahathir berkata, tindakan itu membuktikan betapa sombong, kejam dan kejinya rejim Zionis itu.

Namun katanya, media Barat dan sesetengah pemimpin berterusan mengutuk Hamas dan Ismail sebagai pengganas, walhal mereka berjuang menentang Benjamin Nethanyahu, Angkatan Pertahanan Israel dan pendatang haram Yahudi yang berdekad-dekad melakukan keganasan ke atas penduduk Palestin.

“Sikap hipokrasi dan jijik Barat dan sekutu mereka itu adalah sangat memualkan. Pemimpin Barat yang bertamadun sendiri melabel Ismail, Hamas dan pejuang kemerdekaan Palestin yang lain sebagai pengganas,” ujarnya.

Menurutnya, dunia Barat yang sepatutnya bergerak ke hadapan melakukan perubahan mengambil pendekatan untuk berdiam diri, malah berpihak kepada Israel menyokong kekejaman terhadap rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Mahathir optimis menyatakan perjuangan Ismail tidak akan ‘terkubur’ sebaliknya yakin rakyat Palestin tidak akan membiarkan kematiannya sia-sia.

“Mereka mungkin membunuh Ismail tetapi bukan idea dan perjuangannya. Kepada keluarga Ismail Haniyeh, terimalah ucapan takziah saya atas kehilangan seorang individu luar biasa.

“Kepada Hamas dan rakyat Palestin, anda telah kehilangan seorang pemimpin yang hebat, seorang yang berani dan berpegang kepada keyakinan. Semoga Allah SWT mengampuninya, memberikannya syurga dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh.

“Dari sungai ke laut, Palestin akan merdeka,” tambahnya. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp