TERKINI

Pemuda PAS Selangor Dakwa PH Gagal Tunai Janji Haramkan Vape Menjelang 2025

SHAH ALAM, 1 Jan 2026 — Pemuda PAS Selangor mengecam kegagalan Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) yang didakwa tidak menunaikan janji untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape selewat-lewatnya pada akhir tahun 2025.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai, Naib Ketua Pemuda PAS Selangor, menyuarakan kekecewaan terhadap Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin, yang menurut mereka gagal merealisasikan komitmen yang pernah diumumkan berkaitan pengharaman vape di negeri itu.

“Hari ini, 1 Januari 2026, menjadi bukti jelas bahawa janji tersebut hanyalah janji kosong dan retorik politik semata-mata, tanpa iltizam politik yang sebenar daripada PH Selangor untuk melindungi kepentingan kesihatan awam dan masa depan generasi muda,” menurut kenyataan itu.

Pemuda PAS Selangor memaklumkan bahawa sepanjang tahun 2025, kerajaan negeri telah mengeluarkan pelbagai kenyataan termasuk hasrat membentangkan kertas cadangan ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), arahan menurunkan iklan vape serta janji untuk mengambil tindakan tegas.

Namun, menurut mereka, ketiadaan langkah paling utama iaitu pengharaman menyeluruh menyebabkan penjualan vape terus berleluasa, termasuk di kawasan berhampiran sekolah dan lokasi tumpuan remaja.

“Kegagalan ini membuktikan ketidakcekapan PH dalam tadbir urus negeri. Ibu bapa dan pendidik amat mengharapkan tindakan tegas kerajaan negeri bagi melindungi anak-anak daripada ancaman ketagihan nikotin dan kesan kesihatan jangka panjang akibat penggunaan vape,” kata Pemuda PAS Selangor.

Mereka turut melahirkan rasa dukacita apabila Selangor, yang sering mendakwa sebagai negeri paling maju, didakwa gagal mengangkat nilai kesejahteraan dan kesihatan rakyat, sedangkan beberapa negeri lain berani mengambil langkah lebih tegas dalam isu berkenaan.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor menuntut penjelasan rasmi daripada kerajaan negeri berhubung sebab sebenar PH Selangor tidak berani mengharamkan vape seperti yang dijanjikan, selain mendesak agar satu garis masa baharu yang jelas dan muktamad ditetapkan tanpa sebarang penangguhan.

“Kepentingan kesihatan awam mesti diletakkan mengatasi kepentingan politik dan industri tertentu,” tegas kenyataan itu. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp