KUALA LUMPUR: Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai memalukan masyarakat Melayu.
Memetik laporan Awani, beliau tidak memahami objektif di sebalik penganjuran perhimpunan solidariti untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dirancang hari ini.
Malah Mukhriz menyifatkan perhimpunan tersebut sebagai memalukan masyarakat Melayu.
Kata Mukhriz, Najib adalah pemimpin Melayu yang telah menghancurkan imej bangsa Melayu.
“Dialah orang yang meleraikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sehingga kalah dalam pilihan raya umum 2018.
“Kalau nak kata kami jatuhkan dia….dia sendiri yang jatuhkan diri dia, jadi tak perlu salahkan orang lain.
Mukhriz berkata, masyarakat Melayu sepatutnya sedar perkara ini. Berhimpun untuk menyokong dia, memalukan masyarakat Melayu. Orang akan cakap, orang Melayu sokong kleptokrat,” katanya dalam sesi podcast bersama saluran YouTube Suara Marhaen Official yang dipetik Awani.
Mukhriz yang juga mantan Menteri Besar Kedah turut menggesa orang Melayu agar berpegang pada ajaran agama Islam dan tidak terperdaya dengan perhimpunan yang menggunakan alasan perpaduan orang Melayu.
Terdahulu, media melaporkan bahawa penganjuran Himpunan Solidariti oleh ahli UMNO itu adalah sebagai tanda sokongan dan setia kawan terhadap Najib kerana jasa besar beliau selama ini.
Istana Negara menerusi kenyataan mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ditetapkan, termasuk kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berkaitan pengampunan kepada mana-mana banduan.
Dari kenyataan tersebut, UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan solidariti.
Namun begitu, Pas tetap menggalakkan ahli parti hadir pada perhimpuan itu kerana menyifatkan solidariti itu sebagai isu rakyat dan tiada pihak boleh menyekat sesiapa saja yang mengambil berat mengenai solidariti itu kerana ia hak asasi. – Awani