2 Feb — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) secara tegas menolak cadangan penstrukturan pentadbiran bandar yang sedang digerakkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), dengan alasan ia berisiko menjejaskan keseimbangan sosioekonomi rakyat bandar, khususnya Bumiputera berpendapatan sederhana dan rendah.
Dalam kenyataan media, Naib Presiden Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, menegaskan cadangan KWP dibuat pada masa rakyat bandar menghadapi kos sara hidup tinggi, jurang ekonomi yang melebar, dan ketidakseimbangan pemilikan hartanah, sekali gus menimbulkan kerisauan terhadap kestabilan bandar jangka panjang.
“Keutamaan belum jelas memihak kepada rakyat tempatan berpendapatan sederhana dan rendah, khususnya Bumiputera bandar yang masih ketinggalan dari sudut pemilikan aset, peluang perniagaan dan akses ekonomi. Penstrukturan tidak boleh hanya bersifat pentadbiran di atas kertas tetapi mesti menyelesaikan realiti di lapangan,” kata Irwan.
Perkasa juga menekankan bahawa sehingga kini tiada pelan terperinci yang menjamin keseimbangan sosial, perlindungan golongan tempatan, atau keutamaan kepada kumpulan yang masih ketinggalan didedahkan secara menyeluruh kepada umum. Tanpa jaminan ini, organisasi itu berpendapat tidak wajar memberikan sokongan kepada cadangan tersebut.
Selain itu, Perkasa menolak sebarang persepsi bahawa pentadbiran bandar sebelum ini bersifat menindas mana-mana kaum.
“Tidak pernah wujud bukti bahawa Datuk Bandar sebelum ini meminggirkan masyarakat Tionghua atau kaum lain secara dasar. Pentadbiran bandar berjalan atas kerangka perkhidmatan awam yang meliputi semua warga kota tanpa mengira latar belakang,” tegas beliau.
Perkasa turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan rasional sebenar cadangan pemilihan Datuk Bandar, sama ada ia benar-benar bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran atau berpotensi mengubah keseimbangan sedia ada dalam tadbir urus bandar.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan sama ada perubahan ini akan memberi kesan kepada kedudukan sosioekonomi Bumiputera bandar yang masih memerlukan pengukuhan,” kata Irwan lagi.
Dalam penutup kenyataannya, Perkasa menegaskan bahawa pembangunan bandar mesti berteraskan Perlembagaan Persekutuan, keadilan sosial, dan kestabilan masyarakat majmuk, bukannya dibentuk atas persepsi politik atau tekanan sentimen semasa.
“Selagi perkara-perkara asas ini tidak diperjelaskan dan dijamin secara konkrit, kami kekal dengan pendirian tidak menyokong cadangan penstrukturan tersebut. Bandar yang stabil dibina atas dasar yang melindungi semua rakyat serta mengekalkan keseimbangan sosial negara,” kata Irwan. – malayadaily