TERKINI

Pertumbuhan gaji perlahan jadi punca peningkatan kos sara hidup – Timbalan Gabenor BNM

Gambar hiasan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 Mac 25 – Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Marzunisham Omar menyatakan bahawa peningkatan kos sara hidup adalah berpunca daripada pertumbuhan gaji pekerja yang perlahan.

Menurutnya, sejak 2019, gaji nominal untuk setiap pekerja hanya meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding kenaikan harga keseluruhan (9.3 peratus), manakala harga makanan naik sebanyak 17.4 peratus.

Tambah beliau, walaupun kadar inflasi secara keseluruhan menunjukkan penurunan, kebimbangan mengenai kos sara hidup masih berterusan dan perbincangan mengenai kos sara hidup tidak seharusnya terhad kepada harga dan paras harga semata-mata, namun perlu mengambil kira pertumbuhan pendapatan.

“Meskipun kadar inflasi berjaya dikawal dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun paras harga masih kekal tinggi. B40 adalah golongan yang paling terkesan kerana membelanjakan 52 peratus daripada pendapatan mereka untuk keperluan asas berbanding M40 (37 peratus) dan T20 (32 peratus).

“Malah, kadar produktiviti setiap pekerja yang merekodkan kenaikan 11.2 peratus juga tidak selari dengan pertumbuhan nominal gaji pekerja yang lebih rendah. Sektor swasta juga perlu memainkan peranan dengan membayar gaji pekerja secara adil dan setimpal dengan produktiviti mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk mencari cara bagi meningkatkan pendapatan, sama ada melalui pelaburan yang dapat mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih tinggi atau melalui pelbagai langkah kerajaan seperti sistem gaji progresif dan gaji minimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbinccangan panel dan ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia bersempena dengan pelancaran Laporan Tahunan BNM 2024 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Marzunisham berkata, secara keseluruhan, penyelesaian bagi isu kos sara hidup memerlukan gabungan pelbagai dasar.

“Selain kawalan inflasi, dasar fiskal seperti pengagihan semula pendapatan juga penting. Selain itu, pembaharuan struktur, termasuk dalam pasaran buruh perlu diteruskan bagi memastikan keseimbangan antara harga dan pendapatan pekerja,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp