TERKINI

PRK Sg Bakap : Pemuda PN Pulau Pinang bidas dakwaan Rafizi

Sidang Media Pemuda PP – foto Chegu Bard

PULAU PINANG, 4 Julai 24 – Timbalan Ketua Pemuda PN Pulau Pinang, Muhamad Hafis Alias membidas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyalahkan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, mantan Menteri Air dan Alam Sekitar berkaitan isu bekalan air di Pulau Pinang.

Dalam satu sidang media semalam, Hafis berkata, tuduhan tersebut sangat tidak bertanggungjawab memandangkan kuasa pengurusan air di Pulau Pinang dibawah kuasa negeri iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Kita sangat pelik dengan tuduhan rambang dan sangat tidak bertanggungjawab seorang Menteri Ekonomi yang melemparkan tuduhan tidak berasas dan gagal memahami struktur pentadbiran air negeri dan peranan di kerajaan Pusat.

“Sehingga hari ini kuasa pengurusan air di Pulau Pinang dibawah kuasa negeri iaitu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Ujarnya.

Menurut Hafis lagi, isu bekalan air di Pulau Pinang telah berlanjutan selama 3 penggal dibawah kerajaan DAP yang menatijahkan bekalan air penduduk Dun Sg Bakap terjejas.

“Selama 3 penggal dibawah YB PKR orang Sungai Bakap tidak mendapat pembelaan sewajarnya dan terus orang Sungai Bakap dibiarkan melarat di dalam isu air ini.

“Tanggal PRN 2023 membuka ruang kepada kemenangan calon Perikatan Nasional di Dun Sg Bakap Almarhum Abang Zam dan selama 9 bulan inilah baharu suara rakyat dibawa dan diangkat isu masalah air di beberapa tempat seperti di Mukim 5, Taman Widuri, Taman Seruling Emas. Katanya.

Baru-baru ini, Rafizi Ramli ketika berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap mempersoalkan apa yang dilakukan Perikatan Nasional (PN) semasa mentadbir negara selama 33 bulan.

Rafizi dilaporkan sebagai berkata, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika itu menjawat tugas Menteri Air dan Alam Sekitar seharusnya lebih tahu dan tidak mengabaikan masalah berkenaan di Sungai Bakap.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan wakil Pakatanb Harapan (PH), Joohari dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) dalam pertembungan satu lawan satu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp