TERKINI

Putra bantah kenaikan tarif air

Asmawar Samat (gambar kecil) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 18 Jan 2024 – Kenaikan tarif air yang diumumkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara semalam, bakal mengundang inflasi dan menyusahkan rakyat.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang membantah keras keputusan itu meminta pihak berkenaan mengkaji semula tarif itu dengan mengambil kira kos sara hidup rakyat masa kini.

Naib Presidennya, Datuk Asmawar Samat berkata, harga air yang dinaikkan 22 sen semester padu mulai Februari ini memaksa rakyat menadah air mata akibat kesempitan hidup dan dibelenggu pula dengan pelbagai kenaikan barangan keperluan harian.

“Kenaikan tarif air ini boleh mencetuskan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan meningkatkan lagi kemiskinan di kalangan rakyat.

“Golongan paling teruk terjejas ialah yang tinggal di bandar dan pinggir bandar, tinggal di perumahan awam yang diurus oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta perumahan murah milik persendirian.

“Apakah kenaikan ini dibawa keperbincangan dan perhatian Jawatankuasa Kabinet dan diputuskan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang prihatin dan Madani?,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Asmawar, jika keputusan itu hanya dibuat oleh SPAN, kerajaan perpaduan berslogankan Madani akan dilihat sebagai tidak berfungsi secara berkesan, tetapi lebih kepada retorik dan riuh rendah seperti indah khabar dari rupa.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam Putra menjelaskan, rakyat tertunggu-tunggu bilakah pihak kabinet akan membuat pengumuman rasmi beserta formula yang komprehensif bagi mengurangkan bebanan rakyat bawahan?

“Parti Putra hairan bagaimana perkara asas kehidupan rakyat melibatkan harga dan bekalan air dipandang mudah oleh kerajaan.

“Sudahlah bekalan makanan lain seperti beras, ayam, minyak masak dan gula naik, kenaikan harga air dan mungkin selepas ini harga petrol pula adalah suatu perkara yang sukar dinafikan.

“Umum tahu, harga minyak dunia telah naik 2 peratus selepas tercetusnya serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas tentera Houthi dan Yaman pada Disember lalu,” kata beliau.

Beliau turut mendedahkan, kualiti atau kandungan Ph dalam bekalan air agak tinggi iaitu antara 6.5 hingga 8.5.

Sebab itu, katanya, bagi kumpulan atasan yang mampu, mereka memilih untuk memasang penapis air Ph 7.5 ke bawah di rumah masing-masing.

“Kini, ramai juga pengguna terpaksa membeli air minuman RM6.60 untuk 9500 mm dan air mineral RM2.50 untuk 1250 mm bagi menjamin kesihatan mereka, terutama buah pinggang agar tidak terjejas.

“Tidakkah kita terfikir, untuk membuat inisiatif projek pilot di Putrajaya misalnya, membekalkan air dengan Ph di bawah 7.5 bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp