8 Januari – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) memandang serius keputusan Jabatan Peguam Negara menamatkan prosiding terhadap Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melalui kaedah No Further Action (NFA), yang didakwa menimbulkan keraguan terhadap integriti sistem keadilan negara.
Menurut PUTRA, kes ini melibatkan 47 pertuduhan jenayah berkaitan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram. Mahkamah Tinggi sebelum ini telah memutuskan wujud prima facie dan memerintahkan tertuduh membela diri.
“Keputusan ini mencetuskan krisis keyakinan terhadap institusi keadilan. Rakyat berhak bertanya: jika kes sebesar ini boleh ditutup tanpa penghakiman mahkamah, apakah nasib rakyat biasa?” kata Shahrulufti Sharif, Ketua Penerangan PUTRA.
Bagaimanapun, selepas keputusan Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA) pada 4 September 2023, kes kini ditamatkan sepenuhnya melalui NFA, yang menurut PUTRA menimbulkan kebimbangan rakyat.
PUTRA turut menekankan konflik persepsi berikutan Peguam Negara yang menandatangani keputusan NFA sebelum ini pernah mengetuai pasukan pendakwaan kes sama. Parti itu menuntut penjelasan bertulis secara terperinci daripada Jabatan Peguam Negara dan menekankan kepentingan reformasi institusi pendakwaan supaya bebas daripada pengaruh politik.
“Jangan bicara soal ‘rule of law’ dan integriti jika keadilan hanya untuk yang berkuasa,” tegas Shahrulufti.
PUTRA menegaskan pihaknya menolak sebarang cubaan menggunakan sistem keadilan demi kepentingan politik dan menegakkan prinsip bahawa keadilan adalah hak setiap rakyat Malaysia. – malayadaily