TERKINI

SPRM Tiada Hak Kuasa Buat Kesimpulan Kes Pelanggaran Kod Etika Hakim

foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 April 2023 – Tiada sebarang akta yang memberikan hak kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan menyimpulkan sesuatu kes perlanggaran kod disiplin dan etika, terutamanya terhadap hakim mahkamah atasan.

Bekas Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir, berkata bahawa Hakim Mahkamah Atasan bukanlah penjawat awam yang terikat dengan surat pekeliling kerajaan dalam tugasan mereka.

Sebaliknya, Salim, berkata sekiranya terdapat aduan pelanggaran etika dari mana-mana pihak, ianya perlu dipanjangkan kepada Ketua Hakim Negara secara rahsia dan berhemah untuk tindakan seterusnya di bawah Kod Etika Hakim 2009.

“Bidang kuasa siasatan SPRM adalah jelas termaktub melalui peruntukan di bawah Akta SPRM bagi kes kesalahan di bawah Akta SPRM dan kes berjadual yang disenaraikan di bawah Seksyen 3 Akta SPRM,” katanya kepada BH, hari ini.

Tambahnya, Ketua Hakim Negara mempunyai kuasa mutlak untuk menolak sebarang aduan jika ianya tidak bermerit atau merujuk kepada jawatankuasa etika hakim untuk ketentuan.

“Dalam kes Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, isu konflik yang timbul sudah pun dibangkitkan ketika hujahan di peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Malah sudah pun mengambil kira persoalan isu-isu berkenaan dan memuktamadkan untuk menolak isu terbabit dari segi perundangan,” katanya.

Semalam, bekas Presiden-Presiden Majlis Peguam menyelar ‘serangan’ ke atas badan kehakiman dan hakim-hakim yang mendengar kes SRC International, berikutan tular surat SPRM di media sosial.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu menyuarakan sokongan terhadap pendirian Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah bahawa satu penghakiman yang bertentangan dalam semakan perbicaraan SRC International bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukanlah alasan untuk semakan semula atau perbicaraan diadakan sekali lagi.

Kenyataan itu ditandatangani oleh 14 bekas Presiden Majlis Peguam antaranya Datuk S Ambiga, Tan Sri VC George, Datuk Param Cumaraswamy, Datuk Dr Cyrus Das, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Yeo Yang Poh, Kuthubul Zaman Bukhari, Datuk Lim Chee Wee, Steven Thiru, Datuk George Varughese, Datuk Fareed Abdul Gafoor dan AG Kalidas. – sumber Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp