13 Jan – Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat, dan operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur sebelum dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar.
Titah Baginda dibuat selepas sesi menghadap bersama Ahli Exco Infrastruktur dan Pertanian, Dato’ Ir. Izham Hashim, dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam. Baginda menekankan bahawa setiap langkah pindahan perlu tersusun, mematuhi peraturan, dan mengambil kira kesejahteraan rakyat serta alam sekitar.
Selain itu, Sultan Selangor memerintahkan satu kajian menyeluruh dan bancian data sebenar dijalankan untuk mengenal pasti keperluan dan permintaan daging babi untuk rakyat bukan Islam di Selangor.
Baginda menegaskan bahawa tidak ada sebarang perancangan untuk eksport hasil penternakan ini, dan dapatan kajian itu akan menjadi asas dalam menentukan skala dan kapasiti operasi di Bukit Tagar agar kekal munasabah dan terkawal.
Baginda juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyalurkan dana awam atau membuat pelaburan untuk operasi penternakan babi, termasuk di Bukit Tagar. Semua urusan perlu dilaksanakan secara swasta dan bertanggungjawab.
Sultan Selangor berharap agar semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan berhemah, mematuhi undang-undang, dan memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini terpelihara. – malayadaily