TERKINI

URA Akan Percepat Proses Pemilikan Tanah Bandar Untuk Orang Kaya – Mahathir

Mahathir Mohamad (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 9 Mac 25 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa undang-undang pembaharuan bandar yang dirancang untuk digubal oleh kerajaan akan mempercepatkan proses pemilikan tanah kawasan bandar oleh golongan kaya hingga terusirnya golongan miskin ke luar bandar.

Mahathir dalam entri di laman sosial X berkata, setiap hari berpuluh ekar tanah milik orang miskin dalam dan luar bandar dijual pada orang kaya menyebabkan orang miskin terpinggir di luar bandar.

“Dan orang kaya akan memiliki seluruh bandar. Undang-undang pembaharuan bandar akan percepat proses ini. Katanya.

Tambah beliau, tanah-tanah orang miskin yang telah dijual akan dibangunkan oleh orang kaya hingga nilai hartanah tersebut meningkat.

“Apa terjadi kepada tanah orang miskin yang telah dijual? Orang kaya akan bangunkan tanah dengan kedai dan rumah mewah.

“Dengan itu nilai tanah akan meningkat.

“Si miskin akan lihat dengan putih mata tanah yang telah dijual menguntungkan pembeli yang kaya.Maka yang miskin jadi lebih miskin. Yang kaya lebih kaya. Ujarnya.

Baru-baru ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan kini di peringkat akhir menyediakan draf Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) Malaysia yang pertama, dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi, kata menterinya Nga Kor Ming.

Bagaimanapun, cadangan berkenaan mendapat tentangan hebat daripada pemimpin pembangkang kerana mereka berpendapat RUU tersebut bakal meminggirkan kaum tertentu terutamanya golongan berpendapatan rendah. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp