TERKINI

Zahid Cadang ‘Kerjasama Agung’ Parti Melayu-Islam Tanpa Gugat Kerajaan Perpaduan

18 Jan — Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengemukakan cadangan pembentukan satu “kolaborasi agung” antara parti‑parti Melayu dan Islam di Malaysia dalam ucapan penggulungannya sempena Persidangan Agung UMNO (PAU) 2025.

Dalam ucapannya di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Zahid berkata kerjasama itu bertujuan menyatukan parti Melayu‑Islam di bawah satu bumbung demi kepentingan dan agenda bersama, tetapi beliau menekankan bahawa inisiatif tersebut tidak akan menggugat kerajaan perpaduan yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mohon persetujuan sidang perwakilan sekalian untuk kita membentuk grand collaboration atau kolaborasi agung bagi menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam … tanpa berhajat untuk menggugat kerajaan perpaduan yang ada,” kata Zahid ketika membentangkan usul tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa kerjasama ini tidak menuntut mana‑mana parti untuk membubarkan organisasinya sendiri, sebaliknya menyokong kerjasama secara tidak rasmi sebagai langkah permulaan untuk memperkukuh hubungan antara parti Melayu‑Islam.

Zahid turut menyatakan bahawa peringkat awal perbincangan mengenai “kolaborasi agung” dijangka melibatkan 10 pemimpin utama parti politik,” dengan harapan untuk mengetepikan perbezaan demi Islam dan agenda Melayu.

Usul itu disambut dengan sorakan para perwakilan UMNO yang hadir, dan permintaan untuk membentuk kolaborasi tersebut dilaporkan disetujui secara sebulat suara oleh hadirin di persidangan.

Selain itu, Zahid menegaskan bahawa cadangan itu bukan bertujuan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) kerana ia kini didaftarkan sebagai sebuah NGO, dan UMNO memilih untuk menumpukan kepada bentuk kerjasama yang lebih luas dan fleksibel. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp