TERKINI

Hayati Ramadan, Santuni Syawal

foto urban jabar

Minggu depan adalah minggu terakhir kita menjalani ibdah puasa. Sedar tak sedar dah tiga minggu kita tekun menjalankan ibadah ini. Namun melihat berita di dada-dada akhbar, kita sedih kerana perangai lama kita masih belum berubah iaitu pembaziran makanan.

Dilaporkan bertan-tan makanan berlebihan. Ini mengundang banyak persoalan. Walaupun makanan berlebihan ini boleh disedekahkan, namun ia tak sama dengan konsep sebenar sedekah.

Bagi kita, sedekah yang sebenar ialah kita memang buat sesuatu itu untuk tujuan bersedekah, bukan kerana ada lebihan makanan yang tak terjual atau tak diguna, kemudian kita sedekahkan hanya mahu mengelak dari dibuang ke tong sampah. Memang tak salah, tapi jika hal ini jadi ikutan dan budaya, maka makna sedekah itu sudah berubah dari makna dan tujuan asalnya.

Kita kena faham bahawa bila kita berniaga, hal paling utama ialah mengelakkan pembaziran produk. Jika kita tahu dalam tempoh tiga hari sesuatu makan atau produk itu tidak laku, sebaiknya kita henti atau kurangkan nisbah produknya agar kita tidak rugi.

Selain daripada itu, hal makanan berlebihan ini juga mungkin suatu isyarat bahawa isu inflasi benar-benar sedang menghentam kita semua sebagai pengguna.

Mengapa rakyat kurang membeli? Kerana harga yang telah meningkat tinggi. Hal ini kita tak boleh nak menyalahkan rakyat kerana kita juga faham situasi semasa. Malah kita juga menggalakkan agar rakyat berbelanja dengan bijak.

Ini soal makanan, begitu juga soal keperluan lain untuk hari raya. Baik pakaian mahupun keperluan asas, ia menjadi kemestian bagi kita untuk membuat persiapan sebagai meraikan sambutan hari raya. Perkara ini juga sama, kita nasihatkan agar merancang perbelanjaan dengan betul agar tidak membazir dan sia-sia.

Kita harus kembali kepada makna sebenar Ramadan dan Syawal.

Untuk dua bulan ini, adalah bulah ibadah. Bukan bulan untuk bermewah-mewah dengan makanan mahupun pakaian dan sebagainya. Kembalilah kepada fitrah kita.

Bulan ramadan menuntut kita berpuasa dan menjalankan ibadah malam dengan optimum. Bagi syawal pula adalah bulan untuk kita menginsafi diri atas segala nikmat kehidupan yang telah diberikan kepada kita. Utamakan bersedakah, bermaaf-maafan dan jalin silaturahim antara keluarga dan saudara sahabat handai. Ini yang utama.

Kita orang Melayu dan Islam harus kembali kepada makna hidup ini, bukan terikut-ikut dengan budaya bermewah atau berbelanja sakan.

Selain daripada itu, dalam kemeriahan menyambut syawal, kita semua perlu menjaga perut. Janganlah makan berlebihan kerana punca penyakit adalah dari perut.

Bagi mereka yang berpenyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain, makanan yang berlebihan adalah musuh utama. Jadi beringatlah kita semua supaya berpada-pada dalam menyambut kedatangan syawal.

Hayatilah ramadan, santunilah syawal dengan fitrahnya.

Sekian

Alang Rizam

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp