TERKINI

Jangan jadi seperti ‘Anjing menyalak bukit’

Azman Mohd Hashim – malayadaily.com

Negara terus dikejutkan dengan pelbagai insiden yang menyentuh sensitiviti orang Melayu. Belum reda isu kehadiran Kapal Perang China yang membuat lawatan dan mengadakan program di sebuah sekolah menengah persendirian Cina, kini timbul pula isu sekumpulan individu yang berarak mengibarkan bendera China di Teluk Intan.

Akibatnya, pelbagai kumpulan orang Melayu bangkit mengecam, mengulas, dan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka. Kita dapat lihat bahawa hari ini, jumlah kumpulan-kumpulan ini serta individu yang berani bersuara semakin bertambah.

Jika kita teliti di platform seperti TikTok, Instagram, dan Facebook, banyak kumpulan Melayu baru yang muncul dengan niat murni untuk membela nasib Orang Melayu dan Islam. Namun, malangnya, kebanyakan mereka bergerak secara sendirian, tanpa koordinasi yang teratur. Ada juga yang menggabungkan beberapa kumpulan, namun impaknya masih belum signifikan.

Sebagai contoh, SG4. Setelah setahun sunyi, tiba-tiba pada September baru-baru ini, sidang kemuncak Tahun Pertama SG4 diadakan. Meskipun menarik perhatian media untuk seketika, kini ia kembali sepi. Ini menunjukkan bahawa, walaupun empat negeri bergabung, hasilnya masih tidak memuaskan kerana ia masih sekadar satu kumpulan—bukan gabungan Orang Melayu yang menyeluruh dan bersepadu.

Ada di antara mereka yang berjaya menularkan video serta pandangan masing-masing, namun impak sebenar tetap tidak tercapai. Ia sekadar mendapat tontonan berjuta dan menambah pengikut di media sosial, tetapi seolah-olah hanya menyeronokkan diri sendiri. Ketidakberkesanannya boleh dilihat dengan jelas dalam setiap Pilihan Raya Kecil; Orang Melayu masih belum menunjukkan kesungguhan untuk perubahan, dan jumlah undi yang diharapkan tidak kesampaian.

Oleh itu, isu-isu yang menyentuh sensitiviti orang Melayu terus muncul dan dijangka akan terus berulang.

Kebanyakan orang Melayu tidak nampak atau merasakan usaha perpaduan ini. Ramai yang masih mencari-cari wadah untuk meluahkan rasa hati dan berharap agar suara mereka didengar.

Sudah tiba masanya semua pihak untuk mengetepikan ego, kepentingan parti, dan kumpulan masing-masing. Fokus perlu diberikan kepada penyatuan orang Melayu, dengan tujuan mempertahankan hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta Agama Islam, dan bukannya agenda parti atau kumpulan tertentu buat masa ini.

Apa yang diperlukan ialah perpaduan yang menyeluruh dalam kalangan orang Melayu. Inilah sebabnya mengapa Proklamasi Orang Melayu diusahakan—untuk menyatukan semua orang Melayu agar lebih kuat dalam mencapai objektif bersama. Dengan cara ini, orang Melayu tidak perlu lagi menjadi seperti sekarang, umpama “Anjing Menyalak Bukit.”

Azman Mohd Hashim SM

Facebook
Twitter
WhatsApp