Bulan kemerdekaan baru berlalu. Kepelbagaian pandangan telah diutarakan tentang kemerdekaan Malaysia. Ada merasakan masih dijajah. Ada berpandangan kita lebih baik bawa penjajahan British. Ada mahu Malaysia ditafsir dari kesinambungan sejarah penjajahan. Ada pula berhujah Malaysia tidak pernah dijajah.
Kepelbagaian pandangan ini wujud kerana hujahan diberi beragendakan kepentingan politik kumpulan masing-masing dari etnik, ideologi politik, aliran akademia dsbnya. Walhal sumber mana yang mereka jadikan asas wacana mereka?
Mutakhir ini, polemik politik yang sering dibangkit adalah bila Malaysia Merdeka 1957 atau 1963? Walhal ketidakfahaman tentang penjajahan, dekolonialise dan kolonialiti yang membina minda politik Malaysia kini masih bertunjangkan ilmu kolonial yang mandarah daging dalam sebahagian rakyat Malaysia.
Secara asas penjajahan berlaku apabila satu kuasa asing menguasai ke atas satu kawasan atau sekumpulan manusia. Sejarah Malaysia telah menunjukkan beberapa penjajahan oleh kuasa-kuasa asing dari Siam, Portugis, Belanda, British dan Jepun telah telah berlaku. Adakah kemerdekaan menandakan kita merdeka dari kuasa dan pengaruh asing yang bebas dan berdaulat?
Kajian kes dari banyak negara-negara pasca merdeka terutama di Afrika, Asia dan Timur Tengah seperti di Kongo, Nigeria, Kenya, Fiji, Iraq, Pakistan dll., kuasa politik dan pentadbiran telah diberikan kepada anak-watan tetapi ekonomi dan sumber negara masih di tangan kapitalis asing yang menentukan dasar awam, dasar luar negara dan perundangan di negara-negara itu.
Di Malaysia sebelum kemerdekaan, semangat dan pergerakan kebangsaan dalam kalangan masyarakat Melayu telah terbina dengan tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu hingga berjaya menolak Malayan Proposal. Malayan Proposal ini telah dipaksa oleh Pentadbiran British Malaya selepas Perang Dunia Kedua ke atas Kesultanan Melayu untuk memusatkan kuasa pentadbiran dan kewangan di tangan British dalam menentukan arah tuju negara.
Namun begitu pergerakan nasionalisme kumpulan etnik Cina dan India masih berpusatkan membebaskan negara asal mereka dari penjajahan masing-masing, iaitu Jepun dan British. Semasa Perang Dunia Kedua, British telah berkerjasama dan memberi senjata kepada Parti Komunis Malaya dalam menentang Jepun di Tanah Melayu.
Semasa selepas Perang Dunia Kedua, British telah berusaha untuk mengintegrasikan komuniti Cina dan India melalui Jawatankuasa Hubungan Komuniti. Perbahasan dalam jawatankuasa ini berlegar berkaitan bahasa, kedudukan ekonomi dan kerakyatan komuniti Cina dan India. Agenda ini berterusan sehingga 10 tahun selepas merdeka.
Malahan agenda ini masih berterusan dipolemikkan oleh parti-parti politik dan NGO Cina dan India yang membawa isu-isu ini sebagai hak dan kebebasan warganegara dalam masyarakat majmuk pasca kolonial berteraskan peninggalan ilmu kolonial British yang berpegang dengan prinsip ideologi ras dan multikulturalisme yang sudah ditolak sedunia termasuk di Britian sendiri.
Semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan didapati masih gagal mendekolonialisasikan diri mereka hingga terperangkap dalam tafsiran sejarah negara dan ideologi ras bikinan ilmu kolonial yang masih menjadi teras intelektual diamalkan di mana peradaban Alam Melayu dan Kesultanan Melayu dihina dengan mengangkat bentuk dan prinsip ilmu kolonial yang diabggap telah memakmurkan Tanah Melayu-Malaya-Malaysia kini.
Ini dapat diperhatikan sejarah Malaysia masih ditulis berdasar kenyataan pentadbir-pentadbir British yang dikatakan telah membenteras lanun, membangun pasarana pelabuhan, jalan raya, keretapi, membawa tanaman komersial getah, kelapa sawit, industri and perdagangan dengan negara-negara barat.
Sejarah kegemilangan dan perdagangan peradaban Alam Melayu, Kesultanan Melayu dan pergerakan menentang penjajahan dari zaman Portugis, Belanda, Siam dan British telah dihapuskan. Keganasan dan genosid British merampas tanah-tanah orang Melayu, harta-harta bangsawan Melayu dan pembunuhan beramai-ramai orang kampung Melayu dibunuh yang menentang mereka telah dianggap selaras dengan perundangan sivil, perundangan tanah, polis dan mahkamah yang mementingkan agenda ekonomi kapitalis penjajah.
Selepas Perang Dunia Kedua, British telah mengadakan Akta Darurat (ISA) untuk menentang komunis tetapi hakikat sebenarnya ISA telah digunakan untuk mengharamkan Parti Hizbul Muslimim dan kepimpinan mereka dipenjarakan. Kepimpinan parti-parti politik Melayu seperti Ahmad Bostaman, Pak Sako, Shamsiah Fakeh, Musa Ahmad, Rashid Maidin yang menentang penjajahan dan memperjuangkan kemerdekaan dari British dianggap pengkhainat bangsa.
Minda kolonialiti, walaupun sudah 67 tahun merdeka, dalam kalangan kepimpinan politik, pentadbiran, ekonomi dan sarjana di menara gading masih mengagungkan penjajahan British hingga arah tuju dasar awam dan dasar pembangunan negara mengutungkan kapitalis asing, sekutu tempatan dan meminggirkan kebajikan serta keperluan rakyat.
Polemik dan budaya politik masih berteraskan perkauman hingga perubahan rakyat yang sudah nipis batas etnik dan bersatupadu ditakutkan dengan mainan ideologi ras penjajah yang mahu rakyat berpecah belah dan tidak bersatu padu untuk mudah ditindas oleh golongan elit politik dan kaya baru warga-warga negara ini.
Dalam suasana ini, rasuah dan salah guna kuasa hanya menjadi manifesto pilihan raya sahaja. Jurang miskin-kaya semakin melebar meluas walaupun laungan kemiskinan sifar menjadi matlamat kerajaan.
Kolonialisme sudah tamat. Dekolonialisme telah dilakukan. Tetapi ilmu kolonial masih mendarah daging dalam elit dan sarjana negara. Elit tempatan seperti penjajah British kepentingan negara dalam wacana pertumbuhan ekonomi tanpa kemakmuran bersama. Kesatupaduan bangsa Malaysia merentas perbezaan etnik, bahasa, budaya dan agama tidak dijadikan agenda nasional kritikal dlam membina bangsa sepunya.
Oleh itu isi buku Lynn Hollen Lees bertajuk Planting Empire, Cultivating Subjects: British Malaya, 1786-1941 terbitan 2017 memaparkan sejarah Tanah Melayu lemah system politik dan masyarakat Melayu berpecah belah dan mundur. British digambar sebagai penyelamat yang telah membangunkan pasarana, perundangan dan institusi di Tanah Melayu hingga pembangunan ekonomi dan migrasi pekerja asing dari India dan China berlaku dalam kegiatan perlombongan, estet dan industri untuk memakmurkan negara ini.
Bentuk negara diandaikan bahawa Tanah Melayu pada masa itu tidak mempunyai penduduk asal dan kemajmukan berlaku oleh dasar migrasi British ingin menjadi negara ini sebuah negara peneroka seperti USA, Australia dll., di mana multikulturalisme asas pembinaan bangsanya.
Intipati penulisan Lynn Hollen Lees tentang penjajajahan British dan kemakmuran negara ini pada 1786-1941 dapat digunakan untuk menganalisis Malaysia pada hari ini di mana anak-anak watan Melayu, orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak didapati masih terperangkap dalam golongan B40, kehilangan pemilikan tanah, tidak menguasai ekuiti, saham-saham syarikat korporat dikuasai kapitalis asing. Anak-anak watan lebih mewakili kumpulan tiada kuasa dan bersuara dalam golongan status sosial rendah dan diperdesaan.
Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 dengan slogan JIWA MERDEKA tepat sekali diangkatkan. Di mana-mana negara bangsa pun dan di mana bumi dipijak dan langit dijunjung, jiwa merdeka tidak akan rela jati diri, identiti diri dan maruah diri bangsanya dipersoalkan apa tah lagi dipijak orang lain.
Untuk memiliki jiwa merdeka, kita perlu menyahkan warisan intelek penjajah yang datang untuk mengeksplotasi sumber dan memiskinkan negara, yang memecahbelahkan rakyat kepelbagaian etnik dengan ideologi ras dan menghina peradaban tempatan dalam mempertahankan white supremacy orang berkulit putih.
Kita perlu kembali kepada nilai asas peradaban Islam dan timur yang mengangkat kepelbagaian manusia sebagai satu umat manusia dan keinsanan. Peradaban Alam Melayu telah mengangkat nilai bersama berdasar tolak ansur, muafakat dan kedamaian di bawah payung sistem sosio-politik kesultanan Melayu dalam kehidupan bersatupadu bersama.
Frantz Fanon telah mengingatkan kita bahawa neo-kolonialisme dan kolonialiti masih mendarah daging dalam jiwa elit tempatan yang bertopeng putih walhal kulit mereka sawa matang dan kuning.
Jauhi berbicara tentang negara dan bangsa Malaysia bersumber ideologi kolonial yang membina masyarakat berpaksikan ideologi rasisme, membangunkan negara beragendakan kapitalis laissez faire dan anak watan dimiskinkan.
-Tamat.
Prof Dr Mansor Mohd Noor, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, 05 Oktober 2024
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili malayadaily.com