TERKINI

A Samad Ismail sebagai Wartawan, Cendekiawan Awam dan Negarawan

BAHAGIAN 3

Samad memperakui bahwa beliau seorang yang rapat dengan Sako sebelum Perang dan dalam masa pendudukan Jepun tetapi dia tidak pernah menceritakamn kepada saya tentang peristiwa Ibrahim Yaakob membeli Warta Malaya ataupun tentang latarbelakang beliau keluar dari Utusan. Kajai sendiri tidak menceritakan mengapa Sako berhenti dari Utusan Melayu secara mendadak.

Demikian juga Yusuf Ishak atau Zainal Abidin Alias (Zabha). Saya begitu rapat dengan Kajai dan juga begitu rapat dengan Yusuf. Saya dengan Yusuf seperti adik beradik. Hubungan kami seperti kuku dengan isi…Yusuf tidak silu-silu meluahkan isi hatinya kepada saya.

Akan tetapi Yusuf tidak pernah menceritakan kepada saya mengapa Ishak meninggalkan Utusan Melayu (Memoir, h. 15).

Samad seterusnya mengisahkan semasa beliau bekerja di Utusan Melayu pada tahun 1941, nama Ishak jarang disebut dalam Jabatan Pengarang Utusan Melayu, “seolah-oleh secara tidak rasmi nama Sako menjadi pantang larang di Utusan. Kalau nama Sako disebut sekali pun disebut secara bisik-bisik.” Namun Samad mendapat tahu.

Dari risik-risik dan bisik-bisik itu dalam Jabatan Pengarang Utusan pada masa itu dan juga dari pekerja-pekerja Utusan Melayu bahawa Sako sebenarnya disingkirkan secara halus dan digeser dari jawatannya.
Tetapi cerita sebenarnya tiada ada siapa yang tahu melainkan Sako sendiri…saya tidak pernah bertanya dia tentang peristiwa itu. (Memoir, h. 15).

Dalam pendahuluannya itu, Samad banyak bercerita mengenai sejarah suratkhabar Utusan Melayu. Itulah permulaan sejarah persuratkhabaran dan kewartawanan Melayu. Dalam persejarahan yang ada, nama KMM tidak wujud atau dikaitkan dengan suratkhabar Melayu itu. Samad menimbulkan persoalan mengenai penahanan Yusuf Ishak dan pendirian Utusan Melayu terhadap Jepun.

Dalam pada itu pula, Samad memerhatikan perhubungan Yusuf dengan Sako “agak kekok dan tidak begitu mesra sedangkan hubungan Ishak dengan Rahim Kajai agak mesra.” Menurut Samad, Ishak menghormati Kajai sebagai seorang tua dan sebagai seorang wartawan yang menjadi gurunya.

Saya pula rapat dengan kedua-dua Yusuf Ishak dan Sako, mengapa demikian hubungan mereka saya tidak tahu dan saya pula tidak bertanya kepada Yusuf atau kepada Ishak mengapa mereka tidak begitu mesra. Adakah kerana hubungan mereka telah retak dari sejak Ishak bekerja di Utusan Melayu dahulu? (Memoir, h. 16).

Selain dari pergeseran Yusuf dengan Sako, Samad juga perhatikan Yusof juga tidak mesra dengan Ibrahim Yaakob, “malah tidak ghairah dengan KMM dan anak-anak buah Ibrahim di Berita Malai.”

Samad menegur Sako kerana tidak menceritakan latarbelakang Berita Malai dalam memoirnya “sedangkan saya tahu penubuhan Berita Malai itu selain hasil dari inisiatif Jepun juga merupakan satu inisiatif Ibrahim Yaakob.” Samad mendalami wawasan Sako pada masa itu.

Dia masih mempercayai bahawa Jepun akan berusaha memberikan kemerdekaan kepada orang-orang Melayu. Sako memperjuangkan agar di Tanah Melayu dan di Singapura, Jepun akan menubuhkan Dewan-dewan Rakyat seperti di Jawa di mana wakil-wakl orang Melayu, orang Cina dan orang India dapat ikut serta dalam mencorakkan pentadbiran Tanah Melayu dan Singapura.

Dia hampa sekali apabila Jepun tidak menjalankan dasar pro-Melayu melainkan hanya melantik pemimpin -pemimpin dari kalangan orang-orang yang tidak berpengaruh untuk menjadi ketua kaum masing -masing. Dia juga hampa sekali apabila Jepun membubarkan KMM. Sako mulai tawar hati dengan Jepun (Memoir, h. 17).

Menurut Samad, Sako berselisih faham dengan Ibrahim Yaakob lalu merajuk dan memimpin satu rombongan petani-petani Singapura untuk membuka tanah ladang di Pulau Bintan membawa istrinya ke sana lalu jatuh sakit dan merana.

Samad terpaksa menghantar rombongan untuk membawa Sako pulang ke Singapura dalam keadaan sakit. Samad berkata Sako tidak menceritakan hal tersebut dalam memoirnya

Samad juga memberitahu beliau (Samad) ditahan oleh Inggeris sebaik Inggeris menawan semula Singapura. Sako tidak menceritakannya, serta pengalamannya di Berita Malai, juga tentang pengalamannya di Warta Malaya dan di Utusan Melayu “apalagi pengalamannya di Pulau Bintan sedangkan babak-babak hidupnya itu menarik.”

Samad bertanya apakah Sako merajuk dengan Ibrahim Yaakob maka dia membawa diri ke Pulau Bintan?, “Bagaimana pula perhubungan dengan Ibrahim sepanjang masa tiga tahun setengah pendudukan Jepun itu.” (Memoir, h. 18).

Samad amat tertarik dengan tulisan-tulisan Sako di Utusan Melayu, Utusan Zaman, serta di Utusan Malaysia. Antaranya ialah “Di Simpang-simpang Jalan” dengan memakai nama pena ‘Pak Pandir Moden’ dan ruangan “Ini, Itu dan lain-lain” dengan memakai nama pena ‘Hantu Raya.’

Tulisan-tulisan tersebut membayangkan “Sako sebagai seorang tradisionalis.” Sako menolak modenisme kerana modenisme menghakis nilai-nilai hidup tradisional orang-orang Melayu.

Dia lebih gemar berpantun, bersyair, berseloka dan bergurindam daripada bersajak kerana pada Sako pantun adalah satu warisan yang paling dekat kepada jiwa orang-orang kampung (Memoir, h.18).

Bersambung

Oleh : Ahmad Murad Merican, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur

[Ucaptama pada Simposium Memperingati Tan Sri A Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan, anjuran Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, 15 January 2024.]

Facebook
Twitter
WhatsApp