TERKINI

Kebangkitan Anti-British Di Semenanjung Tanah Melayu – Bah. 2

Abdullah Zakaria b. Ghazali

foto kredit Friends of IMPAK

British Di Naning

Sebenarnya, kebebasan Naning diakui oleh pihak British setelah penyiasatan dibuat ke atas rekod-rekod Belanda, iaitu selepas British dikalahkan oleh orang Melayu Naning pada 1831.5

Namun demikian disebabkan ingin mempertahankan imej kerana gagal dalam pertempuran pada 1831, British menyediakan Angkatan yang lebih besar dan menyerang Naning. Selain daripada itu apa yang juga menonjol ialah British sebenarnya ingin menguasai Naning kerana British membuat anggaran apabila Naning dapat diduduki, sekurang-kurangnya hasil Naning dapat menambah kewangan kerajaan Negeri-negeri Selat.

Timbulnya tentangan daripada orang Naning juga adalah kerana British telah memecahkan tradisi hubungan antara Belanda dengan Naning. Walaupun Naning dikehendaki membayar 1/10 daripada hasil tahunan ke Melaka tetapi sejak zaman Belanda lagi pada amalannya Naning hanya menghantar 400 gantang padi setahun. Penghantaran ini pula tanpa paksaan,6 tetapi sebagai tanda persahabatan sahaja.7

Manakala pihak British pula mamaksa Naning membayar jumlah 1/10 itu. 8 Tindakan British ini menimbulkan kemarahan Penghulu Dol Said.

Pihak British menghantar pasukan tentera pada tahun 1829 dalam usaha mendapatkan hasil 1/10 daripada Naning. Juga Pegawai British di Melaka pernah memberi amaran kepada Penghulu Dol Said akan memecatkan Dol Said daripada jawatan Penghulu dan hendak digantikan dengan orang lain.

Ini menyebabkan Penghulu Dol Said menyedari bahawa Brirish mencabar kewibawaannya. Keadaan-keadaan ini menyebabkan Penghulu Dol Said memimpin gerakan menentang British.

Peperangan berlaku antara orang Melayu Naning di bawah pimpinan Penghulu Dol Said dengan pihak British pada tahun 1831 dan 1832. Naning mencapai kejayaan pada tahun 1831 dan mengalami kekalahan pada tahun 1832. Pada tahun 1831, pasukan Kompeni British yang dipimpin oleh Kapten Wylie dan dibantu oelh Leftenan Begbie, Leftenan Milnes, Ensign Short dan juga W.T. Lewis telah mara ke Naning.

Pasukan ini dihalang oleh orang Melayu Naning dibawah pimpinan Penghulu Dol Said. Mereka melancarkan serangan hendap, menanam ranjau dan menghalang jalan-jalan dengan cara menebang pokok-pokok besar. Penghulu Dol Said telah mendapat bantuan daripada Yamtuan Ali Rembau, Penghulu Gemencheh, Datuk Kelana Sungai Ujong, Pembesar Sri Menanti dan Penghulu Linggi.

Oleh sebab itulah dalam peperangan ini Kompeni mengalami kekalahan. Kompeni kemudiannya menyiapkan sekali lagi suatu Angkatan yang lebih besar pada tahun 1832. Sebelum serangan dibuat pihak British terlebih dahulu membuat persetiaan persahabatan dengan Rembau. Hasil dari persetiaan ini Rembau berjanji tidak akan membantu Naning.

Setelah beberapa bulan menghadapi tindak balas daripada orang Melayu Naning, akhirnya Kompeni berjaya menawan Naning dan menduduki Taboh pada 15 Jun 1832. Penghulu Dol Said kerana menyedari tidak terdaya menangkis serangan Kompeni telah mengundurkan diri ke Chembong, Rembau dan kemudiannya ke Gunung Pasir, iaitu berhampiran dengan Seri Menanti.

Namun demikian Penghulu Dol Said kemudiannya menyerah diri kepada pihak British pada 4 Februari 1833. Beliau dihadiahkan wang sara hidup setiap bulan, pada mulanya 60 rupee, kemudian dinaikkan menjadi 100 rupee. Kompeni juga memberi Kawasan tapak rumah dan membina rumah untuk beliau.

5 T. Braddell, “Notes on Naning, with a Brief Notice of the Naning War’,  Journal of the Indian Archipelago and Eastern Asia, New Series, Vol. I, 1856, hlm. 222.

6 L.A. Mills, British Malaya 1824—1867, hlm. 116. Haji Mubin Sheppard, “The Tomb of Dato Abdul Said Dato Naning”, Malaysia in History, Vol X, No.1, 1967, hlm 33.

7 Houssin bin Ismael Ellmu, “A Malay Narrative of the late Naning Expedition”, Singapore Chronicle (tr.) Khamis, 9 Feb. 1832.

8 T. Braddell, op. cit, hlm. 200.

* Penulis adalah seorang pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya

Facebook
Twitter
WhatsApp