TERKINI

Memoir Khatijah Sidek Bah.4

Puteri Kesateria Bangsa

PEMBELA WANITA

foto buku Memoir Khatijah Sidek

Semasa di Singapura ini, Khatijah Sidek membuka satu lembar baru dalam kehidupan peribadinya. Beliau bertemu jodoh. Walaupun perjuangan sosiopolitik beliau mempunyai unsur-unsur feminisme, namun pada hakikatnya, Khatijah Sidek mengalah juga kepada desakan sosial dan budaya semasa bahawa tidak manis sekiranya beliau, seorang wanita Melayu dan Islam yang bergerak aktif dalam masyarakat, terus membujang. Maka, pada 1948, beliau menerima pinangan Dr. Hamzah bin Hj. Taib untuk menjadi isteri yang kedua.

Keputusan ini menjejaskan imej Khatijah Sidek sebagai seorang yang lantang menentang poligami. Bagaimanapun, kerana sudah jodoh, beliau mempertahankannya sebagai cara bagi beliau menghayati pengalaman dan penderitaan wanita dalam keadaan serupa yang ingin beliau bela.

Perkahwinan itu juga dipersetujui dengan syarat bahawa beliau terus bebas bergiat dalam politik. Pada waktu itu, Dr. Hamzah ialah Naib Yang Dipertua Lembaga Kesatuan Melayu Johor. Beliau meminta agar Khatijah Sidek membantu kesatuan itu mengukuhkan sayap wanitanya.

Ringkasnya, pada peringkat peribadi dan organisasi, iaitu melalui perkahwinannya dan penubuhan HIMWIM, Khatijah Sidek telah menyediakan asas untuk beliau bergerak ke arah memberi kesedaran politik dan meningkatkan kedudukan sosial wanita di Singapura dan Malaya. Malangnya, hasrat ini terbantut oleh penahanannya dari akhir 1948 sehingga awal 1950.

Kehadiran Khatijah Sidek pada 1953 di dalam pucuk pimpinan Wanita UMNO telah menonjolkannya sebagai pejuang kemerdekaan dan pemimpin wanita yang radikal serta lantang di peringkat kebangsaan di Malaya.

Kemampuannya sebagai propagandis kemerdekaan dan pemidato umum, kesungguhan serta dedikasinya kepada tanggungjawab yang dipikul, dan keperibadiannya yang tidak kenal penat atau putus asa itu, telah memberikan sumbangan yang besar kepada perkembangan politik Melayu.

Dalam konteks ini, sumbangan Khatijah Sidek dapat dilihat daripada tiga segi. Pertama, berbanding pejuang kemerdekaan kiri dan radikal Melayu lain, beliau tidak menyebarkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat biasa melalui UMNO, iaitu pertubuhan arus utama politik Melayu. Dengan itu juga, kredibilitinya lebih mantap di mata rakyat yang pada waktu itu mudah dipengaruhi oleh momok komunis.

Kedua, beliau meletakkan asas kemantapan sayap Wanita UMNO yang dinikmati sehingga kini di samping memperkenalkan perjuangan Wanita UMNO di kalangan rakyat jelata. Beliau bukan sahaja berjaya menghidupkan cawangan yang tidak aktif, yang beliau anggap sebagai kerakap tumbuh di batu sahaja tetapi juga menubuhkan lebih seratus lagi cawangan baru13.

Strategi yang beliau gunakan ialah menggalakkan kepimpinan setempat dan pertumbuhan semangat yakin diri melalui kegiatan bersama, serta melatih kemahiran menyusun gerakan di peringkat tempatan.

Ketiga, dengan strategi ini, Khatijah Sidek memecahkan tembok elitis dan feudal yang mengasingkan gerakan Wanita UMNO daripada rakyat jelata pada 1950an. Sebelumnya, keanggotaan Kaum Ibu UMNO kelihatan terhad kepada wanita di bandar dan daripada kalangan bangsawan atau isteri pegawai kerajaan sahaja.

Dapatlah dikatakan beliau telah membuat sumbangan yang besar terhadap penglibatan politik yang meluas di kalangan wanita Melayu luar bandar.

Khatijah Sidek ialah pemimpin Wanita UMNO yang pertama yang lantang dan terbuka, memperjuangkan supaya hak wanita dalam parti disamatarafkan dengan hak kaum lelaki. Di Persidangan Agung UMNO 1953, beliau menuntut supaya kaum ibu diberikan hak mengundi dan ditambahkan bilangan wakil yang sewajarnya untuk mereka di peringkat kebangsaan.

Gaya bicara dan tindakan beliau di Persidangan ini telah menjadikan beliau lebih kontoversial lagi di kaca mata ahli biasa dan pemimpin konservatif dalam UMNO yang belum bersedia untuk memberi tempat kepada wanita dalam pucuk pimpinan parti.

Beliau dicap keterlaluan, panas baran dan tidak sesuai untuk perjuangan UMNO yang mempunyai imej sederhana, mementingkan cara perundingan, mengelak daripada pertentangan terbuka, bertolak ansur dan mengalah kepada pucuk pimpinan.

Ini bertentangan dengan gaya kepimpinan beliau sendiri yang sentiasa bersifat berani, mencabar dan menentang sebarang penyelewengan atau kelemahan secara terbuka.

Gaya inilah yang banyak menyebabkan sejarah kegiatan politik Khatijah Sidek dirempahi oleh ketegangan, krisis pucuk pimpinan dan penyingkiran.

Bersambung

Penerbit : UKM

13 Fail Khatijah Sidek, 25 Oktober 1976. Lihat juga Lenore Manderson. 1981. Wanita, Politik dan Perubahan, pergerakan Kaum Ibu UMNO Malaysia, 1945-1972. Kuala Lumpur. Fajar Bakti, hlm, 169-170.

Facebook
Twitter
WhatsApp