TERKINI

20 Ribu Sudah Tandatangan Proklamasi Orang Melayu Atas Talian

Grafik malayadaily.com

PUNCAK ALAM, 16 Mei 2023 – Setiausaha Sekretariat Proklamsi Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya memberitahu sebanyak 20 ribu tandatangan proklamasi orang Melayu telah dikumpul secara atas talian sejak ia dilancarkan pada Mac lalu.

Selain daripada itu sebanyak 100,000 borang fizikal telah diedar untuk ditandatangani secara terus di seluruh negara kecuali Sarawak.

Marzuki mengulangi tujuan Proklamasi adalah bertujuan untuk menyatukan orang Melayu melangkaui sempadan parti politik.

“Proklamasi ini sebagai satu daripada usaha supaya orang Melayu faham apa yang berlaku pada hari ini.

“Bagi mencapai matlamat ini kita amat memerlukan sokongan dan penyatuan orang Melayu itu sendiri, katanya.

Marzuki memberitahu, orang Melayu digesa menandatangani proklamasi itu bagi mengembalikan maruah kaum itu seperti sebelum ini.

“Lebih ramai lagi baik dan kita menyasarkan sehingga sejuta yang menandatangani proklamasi ini,” ujar beliau.

Ditanya proklamasi yang ditandatangani orang Melayu itu akan dihantar kepada pihak mana, Marzuki memberitahu, keputusan mengenainya belum lagi dibuat.

“Pada masa ini kita mahu sokongan orang Melayu sebanyak mungkin dan kita akan buat pengumuman mengenainya, jelas beliau.

Beliau memberitahu, pihaknya turut yakin akan terus mendapat sokongan pemimpin Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

“Niat utama kita hanya mahu menjadikan bangsa Melayu ini satu dan tidak berpecah belah.

Proklamasi itu merangkumi 12 perkara antaranya menyebut bahawa orang Melayu tidak pernah menguasai ekonomi negara ini dan satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik turut terlucut dari tangan mereka. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp