TERKINI

Ada Pihak Tuntut Malaysia Jadi Negara Sekular – Tun M

Mahathir Mohamad – foto sekretariat proklamasi orang melayu

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2023 – Ada pihak yang menuntut agar Malaysia menjadi negara sekular sekaligus memberikan ancaman kepada Islam yang menjadi agama rasmi negara, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, sekiranya ia berlaku maka kerajaan tidak lagi terhad untuk membantu anutan agama lain selain Islam yang ada di dalam negara.

“Mereka tuntut negara kita jadi sekular. Bila jadi sekular, maknanya Islam tak jadi lagi agama rasmi.

“Bila Islam tak jadi agama rasmi kita nak bantu Islam tak bolehlah. Kalau nak buat masjid kena buat gereja, kalau nak buat masjid kena buat tokong dan sebagainya,” kata Mahathir, dalam program Bicara Bangsa, di Shah Alam, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, walaupun Islam adalah agama rasmi negara, tiada pihak yang menghalang daripada penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.

“Negara kita ini Islam adalah agama rasmi. Orang lain nak ikut agama lain itu hal mereka kita tak larang. Itu dasar yang ada dalam perlembagaan kita. Islam adalah agama rasmi Malaysia.

“(Tetapi) negara kita asalnya negara Melayu, orang Melayu agamanya Islam. Sebab itu dalam perlembagaan agama Islam jadi agama rasmi,” katanya.

Mahathir juga mendakwa orang Melayu hari ini tidak lagi dibenarkan bercakap soal Melayu, Raja, dan agama di dalam negara, walaupun negara ini dipimpin oleh orang Melayu dan Islam.

“Kita dakwa kepada dunia ini negara demokratik, kita bebas bersuara, bebas bersuara tetapi kalau bercakap tiga perkara ini itu tak boleh.

“Macam mana kata bebas. Kalau bebas kita boleh bercakaplah, ini tak boleh, itu tak boleh tetapi mereka boleh.

“Mereka boleh cakap tentang ‘multiracial’, kita tak boleh bercakap pasal Melayu. Itu salah. Cakap pasal ‘multiracial’ rasis juga. Tapi yang itu boleh yang ini tak boleh,” dakwa Mahathir lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp