TERKINI

Adakah Ini Kerajaan Kuku Besi? – Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2023 – Kerajaan tiada kuasa melarang mana-mana suara rakyat daripada bercakap soal bangsa, agama, dan raja atau dikenali sebagai 3R, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan tegasnya hanya berkuasa untuk membuat sekatan berkaitan isu keselamatan negara.

“Larangan yang dibuat terlalu umum sehingga rakyat takut disalahkan apabila menyebut bangsa, agama dan raja. Polis ikut penceramah seolah-olah hendak cekup mereka.

“Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka. Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat,” kata Mahathir, melalui hantaran di media sosial miliknya, baru-baru ini.

Negarawan itu berkata, perdana menteri tidak boleh sesuka hati membuat sekatan kerana setiap undang-undang digubal mengikut proses yang teliti.

“Apa hak perdana menteri membuat larangan. Negara ditadbir mengikut undang-undang. Tiap suatu yang hendak diperbuat oleh kerajaan ada caranya.

“Kita punyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ada cara tertentu untuk melulus undang-undang. Perdana menteri bukan bebas untuk membuat undang-undang.

“Polis dan SPRM juga tidak bebas bertindak sesuka hati. Semua gerakan kerajaan mempunyai cara dan undang-undang yang perlu diikuti,” katanya.

Bekas ahli Parlimen Langkawi itu turut mempersoalkan hak perdana menteri menyekat suara rakyat dan lawan politiknya.

Menurutnya, itu adalah amalan pemerintahan rejim kuku besi.

“Cara manakah yang dibuat oleh perdana menteri dengan tiba-tiba merampas hak rakyat dan hak parti-parti politik bercakap.

“Cuma pemerintahan kuku besi sahaja yang memberi kuasa tanpa had kepada pemerintah, sudahkah kita sampai ke peringkat itu?

“Itu soalannya. Lebih-lebih lagi pelakunya ialah seorang Reformis yang kononnya menolak cara pemerintahan kuku besi?,” kata Mahathir.

Facebook
Twitter
WhatsApp