TERKINI

Afnan Hamimi: PN Tidak ‘Damage’, Kepimpinan Baharu Sedang Dibentuk

KUALA LUMPUR, 3 Jan — Perikatan Nasional (PN) kekal wujud dan stabil, dengan proses pembentukan kepimpinan baharu sedang dibincangkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan, kata Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi.

Beliau menafikan dakwaan PN sudah rosak, menuju kehancuran atau hilang arah, sambil menegaskan hanya beberapa individu melepaskan jawatan, manakala struktur kepimpinan di peringkat pusat, negeri dan kawasan masih berfungsi seperti biasa.

Menurut Afnan, kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu terus berjalan tanpa gangguan, dengan tiada pimpinan BERSATU digugurkan atau meletakkan jawatan daripada pentadbiran negeri.

Dalam kalangan Ahli Parlimen PN pula, hubungan disifatkan kembali normal apabila wakil PAS dan BERSATU terus berkomunikasi, berbincang persiapan sidang Parlimen, serta mengekalkan hubungan peribadi termasuk ziarah dan saling menasihati.

“Riuh sekejap sehari dua itu biasa ketika konflik memuncak. Apabila keadaan reda, masing-masing memohon maaf dan ukhuwah kembali bertaut,” katanya.

Afnan menegaskan beliau tidak pernah menyatakan PN akan berkubur, malah menekankan PN perlu terus diperkasa selari dengan usul Pemuda PAS yang diluluskan dalam Muktamar PAS, memandangkan harapan rakyat terhadap PN masih tinggi selepas kekecewaan terhadap Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata idea penyatuan melalui PN+Muafakat Nasional (MN) menerima sokongan luas, dengan ramai berharap penyatuan ummah dapat direalisasikan demi kepentingan Islam dan Melayu sebagai majoriti, serta memelihara hak kaum minoriti.

Menurutnya, penyatuan ummah adalah faktor utama yang boleh melemahkan PH khususnya DAP, justeru gabungan itu didakwa akan terus berusaha menghalang perpaduan Melayu-Islam kerana ia menggugat kuasa politik mereka.

Afnan turut mendakwa liputan berterusan media arus perdana yang memberi fokus negatif kepada PN sebenarnya menjadi promosi tidak langsung kepada gabungan itu, sambil mengingatkan pimpinan dan penyokong PN agar tidak terperangkap dengan “permainan naratif” media.

“PN akan kembali kuat dan cergas dengan pembentukan kepimpinan baharu. Penyatuan ummah yang diidamkan pasti terbina jika agenda peribadi diketepikan dan agenda ummah diangkat paling utama,” katanya. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp