TERKINI

Agong Perkenan Datuk Malek Razak Dilantik Panglima ATM Yang Baharu

31 Jan — Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke‑24, berkuat kuasa 1 Februari 2026, selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang berkata keputusan itu dibuat selaras dengan cadangan Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke‑633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, sebelum mendapat perkenan rasmi Seri Paduka Baginda pada 30 Januari.

Seiring pelantikan ke jawatan nombor satu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Malek Razak juga dinaikkan pangkat daripada Leftenan Jeneral kepada Jeneral.

Menteri Pertahanan menyatakan bahawa Datuk Malek Razak memiliki kualifikasi akademik tinggi, termasuk Diploma dalam Strategi dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sarjana Pengajian Pertahanan dari King’s College London, serta Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Pertahanan dari UKM.

Beliau memulakan kerjaya ketenteraan pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 11 Disember 1987.

Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau memegang pelbagai jawatan komander dan staf dalam ATM, termasuk sebagai Panglima Medan Barat Tentera Darat, jawatan terakhirnya sebelum dilantik sebagai PAT.

Menteri Khaled berkata pengalaman luas dan kredibiliti Datuk Malek Razak diharap akan memperkukuh kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia, membantu menghadapi cabaran pertahanan negara dan memulihkan serta memperkukuh wibawa institusi pertahanan berdasarkan integriti serta profesionalisme.

Pelantikan ini juga disifatkan sebagai langkah penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap ATM dalam menghadapi landskap keselamatan yang semakin komplek. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp