TERKINI

Ahli akademik cadang bangunan NSTP dinamakan Balai A. Samad Ismail

A. Samad Ismail (gambar kecil), Ahmad Murad Merican (kiri) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 19 Jan 2024 – Para ahli akademik dan cendekiawan di negara ini mengemukakan beberapa cadangan untuk perhatian kerajaan sebagai usaha mengenang jasa tokoh kewartawanan Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-IIUM), Prof. Dr. Ahmad Murad Merican berkata, antara cadangan mereka ialah menamakan bangunan New Straits Times di Jalan Riong di sini sebagai Balai A. Samad Ismail.

Selain itu, katanya, cadangan itu termasuk menamakan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM sebagai Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media A. Samad Ismail.

“Tiga lagi cadangan kami ialah mewujudkan Kursi Pengajian Kewartawanan A. Samad Ismail; mengabadikan nama A. Samad Ismail sebagai nama jalan di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar di Malaysia; dan mewujudkan satu memorial, galeri dan perpustakaan A. Samad Ismail di satu tempat yang sesuai.

“Selama ini, ramai menceritakan mengenai sosok tubuh ini dari mereka yang mengenalinya secara peribadi, sebagai rakan seperjuangan, rakan sekerja mahupun sebagai anak didik beliau.

“Apa yang diketahui A. Samad Ismail dari episod dan peristiwa peribadi, pengalaman mereka dengannya di jabatan surat khabar New Straits Times (NST) atau Berita Harian (BH),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Simposium Memperingati Tan Sri A. Samad Ismail: Wartawan, Cendekiawan Awam, Negarawan anjuran ISTAC-IIUM bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada Isnin.

Menurut Dr. Ahmad Murad, mungkin ucapannya biasa didengar, tetapi beliau ingin melihat Allahyarham A. Samad serta pemikiran dan wawasan yang dibawanya dari sudut sejarah dan sosiologi.

“Ia akan menjurus kita memahami kewartawanan dan persuratkhabaran dalam masyarakat dan negara – khususnya masyarakat Melayu dan kepulauan Melayu serta pertembungan, pertindihan dan interaksi kewartawanan dengan pemodenan, penjajahan dan perubahan.

“Objektif simposium ini bukan saja untuk mengiktiraf Tan Sri A. Samad Ismail sebagai wartawan, cendekiawan awam dan negarawan, tetapi juga untuk menyemak kembali naratif tokoh tersebut.

“Institusi, budaya dan profesion kewartawanan jelas perlu didalami sebagai pencetus dan pengedar pemikiran, ideologi dan idealisme,” ujarnya.

Beliau berkata, kesebatian institusi itu mesti dikaji semula dalam konteks masyarakat dan tamadun moden yang dialami sekarang ini.

Ujarnya, cerita Samad menukil satu contoh yang terbaik untuk maksud tersebut dan melihat kepada permasalahan itu, beliau bersama rakan di ISTAC-IIUM menganjurkan satu lagi forum bertajuk, Journalism, Reform and Society Lectures.

Kata Dr. Ahmad Murad lagi, A Samad Ismail pada pandangan awam adalah seorang tokoh wartawan dijalinkan dengan proses dan kegiatan politik, juga sebagai seorang sasterawan.

“Belasungkawa Tan Sri Abdul Samad Ismail 4 September 2008 menonjolkan pelbagai penghargaan dalam media arus perdana serta blog.

“Ramai membuat rujukan sebagai ‘wartawan veteran’, ada juga yang menyebut beliau sebagai ‘penulis prolifik’, ‘’pejuang anti-kolonial, ‘aktivis politik’, ‘sejarawan sosial dan pencerita’.

“Apa yang hilang tertinggal dari senarai tersebut ialah istilah ‘intelektual dan cendekiawan’, malah kita mudah lupa, memori sejarah semakin lentur serta pudar dan dalam dasawarsa 1950an, Samad disebut sebagai “a young Malay intellectual”,” kata beliau.

Beliau turut menjelaskan, panggilan cendekiawan tidak digunakan sebagai pengiktirafan kepada Allahyarham A. Samad disebabkan perjalanan sejarah Malaysia, keadaan penjajahan, pengaruh Perang Dingin dan jalinan dengan elit politik tertentu.

Katanya, Samad terlibat dalam apa yang disifatkan sebagai politik kiri dan ini dicemari oleh dakwaan sebagai ‘komunis’, sedangkan perjuangan kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa bertentangan dengan ketokohan Samad pada masa itu, malah mungkin juga sehingga kini. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp