SHAH ALAM, 20 Mei 24 – UMNO Cawangan SS9A, Damansara mengusulkan satu pertukaran atau rombakan bagi jawatan Ketua Penerangan UMNO Malaysia yang disandang Datuk Seri Azalina Othman Said.
Ketuanya, Amin Shukor berkata, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) dilihat tidak fokus kepada tugas Ketua Penerangan parti yang seharusnya perlu bersikap lebih proaktif.
Menurutnya, pihaknya beranggapan akar umbi UMNO memerlukan perlaksanaan strategi, gerak kerja dan hala tuju drastik yang lebih jelas agar setiap tindakan tidak tersasar.
“Disebabkan itu, kita memerlukan seorang individu atau figura yang mungkin boleh lebih fokus untuk bertindak sebagai Ketua Penerangan dan mempunyai masa untuk merencana usaha-usaha serta tindakan yang sifatnya tidak bermusim.
“Satu pelan naratif masa depan UMNO yang lebih praktikal perlu segera digerakkan oleh Ketua Penerangan serta segala usaha perlu digembleng kepada usaha yang bersangkutan portfolio penerangan,” katanya menerusi usul berkait perkembangan mutakhir akar umbi UMNO.
Ia susulan akar umbi dikatakan kurang pendedahan serta kurang penerangan secara dalaman khususnya dari unit atau pasukan terbabit.
Justeru Amin berkata, UMNO Cawangan SS9A, Damansara mengusulkan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk menggalas tugas Ketua Penerangan baharu dan berharap usul itu dipertimbangkan kepimpinan tertinggi UMNO.
“Melalui kemahiran, pengetahuan serta pengalaman dimiliki beliau, ia dilihat satu kelebihan yang boleh diguna pakai untuk kebaikan UMNO.
“Selain itu, UMNO Cawangan SS9A juga beranggapan beliau mempunyai masa untuk lebih fokus merencana, bergerak dan bertindak sebagai Ketua Penerangan yang baru,” katanya.
Katanya, cadangan diusulkan itu selepas melalui pertimbangan rasional demi kebaikan UMNO dalam mendepani situasi semasa politik tanah air. – Sinar Harian