PETALING JAYA, 29 Ogos 24 – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa YB Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Akta Hasutan 1948 sebagai satu lagi pendakwaan terpilih bermotif politik dan berniat jahat bagi menekan pimpinan BERSATU serta Perikatan Nasional.
Dalam kenyataan yang dimuat naik oleh Setiausaha Agong Parti, Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata Jabatan Peguam Negara telah memutuskan pendakwaan secara tergesa-gesa tanpa mengendahkan fakta dan keterangan daripada individu-individu utama yang terlibat serta memperhalusi dokumen-dokumen yang telah diserahkan.
“Pertuduhan terhadap YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sesungguhnya amat luar biasa apabila Ketua Polis Negara memperakui bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak Peguam Negara pada hari yang sama kenyataan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin direkodkan bersama dokumen-dokumen seperti berikut;
a) Surat Arahan dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk mengemukakan Akuan Berkanun sebagai bukti sokongan majoriti;
b) Bukti 115 Akuan Berkanun dari ahli Parlimen yang menyokong YB Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan
c) Akuan penerimaan daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong.
“BERSATU mengecam sekeras-kerasnya sikap hipokrasi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pemimpin Pakatan Harapan yang dahulunya lantang menentang Akta Hasutan 1948 dan berjanji untuk menghapuskan akta yang dikatakan undang-undang zalim atau “draconian law” dalam menifesto Pakatan Harapan sekiranya membentuk kerajaan selepas PRU-15.
Ironinya, setelah menjadi kerajaan mereka telah menggunakan Akta Hasutan 1948 berulang kali secara zalim untuk menekan dan menindas lawan politik. Ujar beliau.
Dalam kenyataan yang sama, MPT BERSATU membuat ketetapan sebulat suara untuk berdiri teguh bersama YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menyeru seluruh pimpinan, akar umbi dan penyokong parti untuk bersolidariti bersama YB Tan Sri Muhyiddin Yassin menentang segala bentuk kezaliman yang menghalang pemimpin Perikatan Nasional terus bersuara menegakkan kebenaran.
Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadapi pertuduhan berkenaan susulan ceramahnya yang didakwa menyentuh isu raja, agama dan kaum (3R) pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Kes dikendalikan enam Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.
Hakim turut menetapkan 4 November depan untuk sebutan semula kes. – malayadaily.com