TERKINI

Akta Imigresen : Warga asing pemegang PLKS boleh diusir jika kahwin warga tempatan

Gambar hiasan – foto Berita Harian

KUALA LUMPUR, 28 Dis 2023 – Pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak boleh berkahwin dengan rakyat tempatan seperti yang dinyatakan di bawah Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155).

Mereka yang melanggar undang-undang itu boleh dibatalkan pas PLKS serta-merta dan diusir dari negara ini.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) tidak akan meluluskan sebarang permohonan selagi JIM tidak membenarkan berbuat demikian.

Katanya, secara asas, itu antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dan imigresen mengenai isu perkahwinan antara pasangan warga tempatan dan pemegang dokumen PLKS.

Jurucakap JAKIM berkata, setakat ini semua negeri menggunakan SOP yang sama iaitu hanya membenarkan perkahwinan dilangsungkan selepas mendapat kebenaran daripada imigresen.

PLKS ialah permit kerja untuk warga asing bekerja secara sah di negara ini diberi kepada tujuh sektor bagi tempoh satu hingga 10 tahun yang ditetapkan kerajaan, selain ciri khas dipamerkan pada pasport individu terbabit.

Pas itu hanya dikeluarkan selepas majikan membuat permohonan bagi Visa Dengan Rujukan (VDR) imigresen secara dalam talian mahupun manual.

Pekerja asing hanya akan dibenarkan masuk ke negara ini melalui pintu masuk yang diwartakan dengan menggunakan VDR dikeluarkan imigresen dan visa kemasukan dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara asal.

Selepas semua dokumen diperlukan sudah diluluskan, setibanya pekerja asing itu ke negara ini mereka perlu diambil oleh majikan di pintu masuk negara dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

Bagi tujuan pengeluaran PLKS, majikan diberi tempoh 30 hari untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing di pusat kesihatan yang berdaftar dengan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA).

Permit itu hanya dikeluarkan selepas pekerja asing disahkan sihat oleh pusat kesihatan yang berdaftar dengan FOMEMA. Sekiranya pekerja asing didapati tidak sihat, majikan hendaklah menghantar pekerja asing pulang dengan segera dengan memohon Memo Periksa Keluar.

Tempoh sah laku PLKS adalah selama 12 bulan dan lanjutan tempoh sah laku boleh dipohon tiga bulan sebelum tarikh tamat. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp