TERKINI

Akta Pembangunan Hartanah dijangka akan dibentang tahun depan – Menteri

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – foto Awani

KUALA LUMPUR, 15 Mei 24 – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberitahu bahawa Akta Pembangunan Hartanah bagi Semenanjung Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Beliau yang membangkitkan idea penubuhan akta itu berkata, berikutan kehidupan moden dalam pembangunan bercampur merangkumi peruncitan, komersial, SOHO (pejabat kecil/pejabat rumah) dan kediaman perubatan, inilah masanya untuk kerajaan mempertimbang akta yang lebih komprehensif, telus dan bertanggungjawab.

“Sejak 1966, terdapat Akta Pemajuan Perumahan yang hanya meliputi hartanah kediaman. Menerusi akta baharu itu, kepentingan pembeli, pemaju dan pemilik tanah dalam aspek yang berkaitan akan dilindungi.

“Pada masa ini, ia belum dimuktamadkan dan kementerian masih lagi berbincang dengan semua pihak berkepentingan mengenainya.

“Kami di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terbuka kepada semua idea baharu dan mengamalkan pendekatan adil dan seimbang di samping melindungi kepentingan pembeli dan pemaju,” katanya pada sidang media, semalam. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp